KUALA LUMPUR – Dua wanita warga emas maut dipercayai berpunca akibat sesak nafas ketika berasak-asak mendapatkan kupon makanan percuma.
Kejadian berlaku di Kompleks Perniagaan ICC Pudu, tengahari tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, insiden terjadi semasa pembahagian kupon makanan yang hanya boleh digunakan pada 11 Februari depan.
“Kami menerima maklumat sekurang-kurangnya enam warga emas pengsan di lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati dua wanita dikenali sebagai Ah Po, 85, dan Law Ion Nang, 78, terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pemeriksaan mendapati kedua-duanya sudah meninggal dunia dan siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi.
Shaharuddin berkata, siasatan mendapati satu program pemberian kupon makanan kepada warga emas diadakan di lokasi oleh gabungan peniaga dan penjaja ICC Pudu bermula 11 pagi hari ini.
Katanya, kupon berkenaan akan digunakan pada 11 Februari depan di tempat sama bagi mendapatkan makanan percuma.
“Pihak penganjur hanya memperuntukkan 200 kupon tetapi kehadiran orang ramai mencecah seramai kira-kira 1,000 orang.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi dipercayai berpunca daripada sesak nafas ketika berasak-asak untuk mendapatkan kupon.
“Kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat petang hari ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette