KUALA LUMPUR – Tiga juruaudit diberi teguran oleh Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kerana gagal mematuhi Standard Pengauditan Antarabangsa semasa mengaudit syarikat senaraian awam yang merupakan pelanggan masing-masing.
Dalam kenyataan hari ini, SC berkata, juruaudit berkenaan ialah Gary Yong Yoon Shing dan Jason Sia Sze Wan, rakan kongsi Nexia SSY, dan Lye Ghee Kang, rakan kongsi CAS Malaysia PLT.
“Juruaudit telah gagal melaksanakan prosedur audit untuk mendapatkan bukti audit sesuai yang memadai untuk menyokong pendapat audit bagi pelanggan mereka.
“Bagi Gary Yong Yoon Shing dan Jason Sia Sze Wan, kesalahan itu bagi dua pelanggan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012 dan bagi Lye Ghee Kang membabitkan seorang pelanggan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 April, 2017,” katanya.
Pematuhan terhadap standard pengauditan semasa mengaudit kenyataan kewangan entiti kepentingan awam adalah syarat bagi pendaftaran dengan AOB.
Kegagalan mematuhi syarat pendaftaran AOB merupakan kesalahan mengikut Seksyen 31Z Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993. – MalaysiaGazette