KUALA LUMPUR – Pemaju perumahan akan memberikan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus ke atas rumah yang sedia dibina dan kerajaan pula menawarkan pengecualian duti setem bagi Kempen Pemilikan Rumah yang diadakan pada tahun ini.
Insentif ini merupakan tindakan lanjutan kerajaan selepas memberikan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi bahan binaan utama seperti batu-bata, simen, dan pasir dan juga perkhidmatan pembinaan, dan pihak pemaju memberikan diskaun minimum 10 peratus untuk rumah baharu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan harga jualan rumah kecuali rumah harga terkawal, sama ada ia sudah sedia dibina, ataupun rumah yang baharu.
Kementerian Kewangan Malaysia memutuskan untuk memberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah kediaman yang bernilai melebihi RM300,000 hingga RM2.5 juta.
Pengecualian duti setem 100 peratus terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah tersebut dan baki selebihnya adalah tertakluk kepada kadar 3 peratus.
Selain itu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan pengecualian duti setem 100 peratus ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman bernilai melebihi RM300,000 sehingga RM2.5 juta.
Perbandingan Kadar Duti Setem Bagi Surat Cara Pembelian Rumah Yang Berkelayakan
Harga Balasan/Nilai Pasaran Harta (mengikut mana lebih tinggi) | Kadar Duti Setem Mulai 1.1.2019 | Kadar Duti Setem Semasa Kempen HOC (1 Januari 2019 – 30 Jun 2019) |
RM100,000 yang pertama | 1% | Dikecualikan |
RM100,001 hingga RM500,000 | 2% | Dikecualikan |
RM500,001 hingga RM1,000,000 | 3% | Dikecualikan |
RM1,000,001 hingga RM2,500,000 | 3% (daripada 1 Januari 2019 hingga 30 Jun 2019) 4% (daripada 1 Julai 2019) | 3% |
Kadar Duti Setem Bagi Surat Perjanjian Pinjaman
Nilai Pinjaman (RM) | Kadar Duti setem | Kadar Duti Setem Semasa Kempen HOC (1 Januari 2019 – 30 Jun 2019) |
Sehingga RM2.5 juta* | 0.5% | Dikecualikan |
*tidak boleh melebihi harga rumah yang ditetapkan sehingga RM2.5 juta
Ini bermaksud jika seseorang membeli rumah bernilai RM500,000, duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik akan dikecualikan sepenuhnya.
Manakala mereka yang membeli sebuah rumah berharga RM1.5 juta, pembeli hanya perlu membayar duti setem 3 peratus ke atas surat cara pindah milik untuk baki RM500,000 sahaja, manakala duti setem ke atas perjanjian pinjaman dikecualikan sepenuhnya.
Tawaran ini hanya sah untuk rakyat Malaysia, bagi jualan yang dimuktamadkan antara Januari sehingga Jun 2019 untuk projek perumahan yang diberikan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus dan disahkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).
“Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk menghadapi cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran.
“Kempen ini juga penting bagi mengurangkan jumlah rumah tidak terjual yang telah memberikan kesan negatif kepada ekonomi Malaysia,” katanya.
Jumlah kediaman tidak terjual di Malaysia telah meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga tahun 2018 dan ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran.
Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2017.
Berdasarkan data oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), ini melibatkan jumlah RM19.5 bilion. – MalaysiaGazette