Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kira-kira 24 tahun lalu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah dipanggil oleh Tengku Mahkota Pahang, Tuanku Abdullah Sultan Ahmad (ketika itu) untuk mengazan dan iqamahkan seorang bayi, iaitu anakanda baginda yang baru dilahirkan.

Bayi itu, yang diputerakan pada 17 September 1995, dan kini telah mencapai usia 24 tahun telah diberi nama oleh bondanya, Tengku Puan Pahang dengan nama Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

Tuan Ibrahim ketika itu baharu sahaja selesai menyampaikan kuliah terus bergegas ke Wad Diraja setelah menerima panggilan dari pihak istana memaklumkan Tengku Puan Pahang telah memasuki bilik bersalin.

“Pagi 17 September 1995, saya menerima panggilan dari pihak istana memaklumkan Tengku Puan Pahang telah memasuki bilik bersalin, dan saya diminta untuk segera datang ke hospital.

“Dengan jubah putih (baru selesai kuliah) saya terus ke Wad Diraja hospital dan dimaklumkan Tengku Puan telah selamat melahirkan seorang Putera,” kata beliau yang merupakan Timbalan Presiden Pas.

Katanya, beliau terus dibawa masuk ke bilik khas, dan Tuanku Sultan Abdullah memintanya masuk (ke wad) untuk azan dan iqamah bayi itu.

“Alhamdulillah saya memangkunya, kemudian mengazan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kirinya, mencium dahi dan mendoakan kebaikan untuknya dan kedua ibu bapa. Kemudian menyerahkan kepada bidan yang menjaganya.

“Kenangan itu masih segar dalam ingatan kerana ia insan yang istimewa pewaris takhta kerajaan Pahang Darul Makmur.

“Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi,” tulis beliau dalam akaun Facebooknya semalam.

Rabu lalu, Tengku Hassanal Ibrahim dimasyhur sebagai Tengku Mahkota Pahang dan Pemangku Raja Pahang.

Istiadat pelantikan dan pemasyhuran itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang, di hadapan ayahanda baginda, Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad dan bondanya, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Surat Pengisytiharan Pelantikan sebagai Tengku Mahkota Pahang dibacakan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Baginda menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Abdullah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang VI pada 15 Januari lalu.

Pemasyhuran ayahanda baginda yang penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri, Istana Abu Bakar itu diumumkan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, yang membaca Pengisytiharan Pelantikan Raja di bawah Perkara 9A Undang-Undang Kerajaan Pahang (Bahagian Pertama).

Sultan Abdullah akan melafaz sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini, dengan disaksikan Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (khas) seperti termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette