SHAH ALAM – Remaja ini baru berusia 18 tahun dan anak yang paling rapat dengan bapa. Demi menjaga maruah, dia sanggup muncul menggantikan Ahmad Dhani pada Konsert Reunion Dewa 19 Live In Malaysia malam tadi.
Namun kemunculan Abdul Qodir Jaelani atau Dul cukup menyentuh hati hampir 7,000 penonton yang hadir apabila dia menitiskan air mata ketika membuat persembahan.
Semuanya berlaku apabila Dul menjadi emosi ketika Ari Lasso yang juga bekas vokalis kumpulan terbabit menyampaikan dua lagu, Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali.
Lensa kamera sempat merakam wajah Dul yang sedang bermain keyboard sambil menangis. Penonton yang dalam teruja ketika itu terdiam seketika hingga menyebabkan suasana di Stadium Malawati di sini bertukar menjadi sayu.
Ini kerana terdapat penonton turut berkongsi perasaan dengan anak vokalis itu apabila mereka dilihat mengesatkan air mata.
Lebih menambah rasa pilu, nyanyian Ari Lasso itu diiringi dengan paparan gambar Ahmad Dhani bersama keluarga serta rakan seperjuangannya dalam kumpulan itu di skrin gergasi.
Malah kejutan tayangan klip video ucapan Ahmad Dhani kepada peminat tegarnya yang digelar Baladewa dan Baladewi yang memohon agar mereka mendoakan dirinya melengkapkan konsert itu kenangan terindah buat penonton yang hadir.
Pada Isnin lalu, Mahkamah Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahmad Dhani yang didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.
Sementara itu, konsert terbabit turut menampilkan vokalis Dewa 19, Once dengan menampilkan lebih 20 lagu popular mereka. serta penampilan kumpulan Andra & The Backbone bersama sembilan lagu. – MalaysiaGazette