Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meter pintar yang sedang dipasang di Melaka mampu meningkatkan nilai tambah perkhidmatan ditawarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pengguna menerusi keupayaan mengesan sebarang gangguan bekalan
elektrik secara elektronik.

Tempoh gangguan bekalan dapat dipendekkan kerana TNB boleh membuat kerja-kerja pemulihan elektrik secara proaktif dan lebih pantas berikutan lokasi terdapatnya gangguan dapat dikenalpasti sebelum laporan atau aduan dibuat pengguna.

Antara ciri meter pintar ini yang akan diaktifkan TNB secara berperingkat termasuklah pemakluman kepada pengguna secara automatik sekiranya terdapat gangguan bekalan serta pemakluman bekalan telah dapat dipulihkan.

Menurut TNB, kelebihan lain meter pintar termasuk membolehkan pengguna mendapatkan maklumat bil dan penggunaan
secara online, sekaligus membantu mereka menguruskan bajet tenaga isi rumah dengan lebih bijak.

TNB memperkenalkan meter pintar demi masa depan yang lebih hijau dan bijak tenaga kerana ia berpotensi besar mempertingkat kepuasan pelanggan menerusi amalan penggunaan elektrik yang lebih cekap tenaga.

Selepas Melaka, pemasangan meter pintar akan dikembangkan ke Lembah Klang sebelum diperluaskan ke seluruh Semenanjung.

Pengguna di Melaka yang masih belum dipasang meter pintar TNB akan menerima notis makluman pemasangan melalui pos atau serahan tangan selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari sebelum meter pintar dipasang.

Penerima notis digalakkan membuat temu janji awal bagi memudahkan petugas TNB memasuki premis dan menyempurnakan tugas pemasangan meter pintar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast