Johan Abdul Aziz
Johan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah menyatakan mahu memberi laluan kepada orang lain untuk bertanding, namun nama Datuk Johan Abdul Aziz sering disebut-sebut untuk diletakkan sebagai calon bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Seorang Ketua Cawangan UMNO di Bahagian Hulu Langat yang hanya mahu dikenali sebagai Rasip berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Barisan Nasional (BN) wajar meletakkan Johan sebagai calon untuk bertanding pada PRK kali ini kerana prestasinya sebelum ini.

Ia disebabkan rata-rata pengundi di kawasan berkenaan tahu dan mengenali Johan yang sebelum ini pernah mewakili mereka di DUN sebagai wakil rakyat selama dua penggal.

“Johan ini banyak buat kerja. Dia tahu selok belok di sini. Saya rasa adalah wajar untuk meletakkan semula Johan sebagai calon bertanding mewakili BN dalam PRK ini.

“Lagipun Johan adalah anak tempatan dan ramai yang mengenalinya,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurut Rasip lagi, tidak perlu memandang ke belakang dengan melihat kekalahan Johan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kerana ketika pilihan raya itu berlangsung sentimen yang dimainkan oleh parti lawan telah berjaya menenggelamkan BN.

Sebelum ini, Johan mengumumkan memberi laluan kepada sahabat dalam UMNO dan BN bertanding pada PRK DUN berkenaan yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

Beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan UMNO Bahagian berkenan serta menyatakan hasratnya itu untuk tidak bertanding.

Terdahulu, UMNO Selangor mencadangkan enam nama kepada ibupejabat parti untuk diteliti dan dipilih sebagai calon PRK DUN itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan perkara tersebut berkata, enam nama tersebut dipilih dalam kalangan bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan golongan profesional.

Johan memenangi DUN Semenyih pada PRU13, tetapi tewas pada PRU14 kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Bakhtiar Mohd Noor.

Pada PRU itu, beliau mendapat 14,464 undi, manakala Mohd Bakhtiar memperoleh 23,428 undi, calon Pas Mad Shahmour Mad Kosim (6,966) dan calon PSM, S Arutchelvan (1,293 undi).

PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini diadakan berikutan kematian Mohd Bakhtiar akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/01/22/prk-semenyih-johan-beri-laluan-kepada-muka-baharu/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast