Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Gerakan Pulau Pinang meminta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mewujudkan semula projek pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sebelum beliau bersara daripada arena politik.

Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, ia bagi merealisasikan keluarga golongan berpendapatan rendah dapat memiliki kediaman sendiri selaras dengan prinsip “Setiap Rakyat Mempunyai Rumah”.

“Kenyataan Kon Yeow yang mengenang tempoh perkhidmatannya hampir empat tahun sebagai Ketua Menteri serta pengumuman tiga “bonus besar” untuk rakyat negeri menjelang akhir tahun seolah-olah sebagai isyarat persediaan beliau untuk bersara.

“Jadi sekiranya beliau benar-benar ingin membalas jasa rakyat Pulau Pinang atas sokongan mereka selama ini, beliau harus menghidupkan semula projek pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sebelum beliau bersara.

“Jika kerajaan negeri dapat membina rumah yang harganya bawah RM100,000 ia pasti dapat membantu golongan kurang berkemampuan merealsasikan impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, pada Ogos 2020, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pernah menyatakan akan memantau pembangunan 1,264 unit rumah kos rendah dan 3,289 unit rumah kos sederhana rendah di bawah projek Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu sehingga semua unit rumah itu siap dibina pemaju.

Jelasnya, Kon Yeow harus memberi penjelasan kepada rakyat negeri ini sejauh mana projek pembinaan rumah tersebut telah dilaksanakan termasuk berapa unit yang telah siap dibina serta lokasi projek pembinaannya.

“Ketika pemerintahan Gerakan di Pulau Pinang, kerajaan negeri telah membina puluhan ribu unit rumah kos rendah pada harga bawah RM50,000 dan rumah kos sederhana rendah pada harga bawah RM75,000.

“Malah kerajaan negeri pada ketika itu turut memperkenalkan skim “Sewa Beli” bagi membantu keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah pertama mereka.

“Namun sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa pentadbiran negeri Pulau Pinang, mereka hanya memperkenalkan apa yang disebut sebagai “rumah mampu milik” dengan harga setinggi RM300,000.

“Ini telah menyebabkan ramai keluarga berpendapatan rendah di Pulau Pinang tidak mampu membeli rumah yang kononnya rumah mampu milik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast