Aktivis, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bercakap pada temubual khas di kediaman nya yang terletak di Taman Puchong Utama, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

NAMA aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng tiba-tiba ‘meletup’ hari ini bila beliau mengejutkan ramai pihak dengan mengumumkan untuk bertanding pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Sedikit mengenai Chee Heng, lelaki 55 tahun ini berasal dari Kampung Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor dan pernah bertugas sebagai anggota polis selama enam tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya dan menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa.

Betul. Beliau yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang ini tidak ada ijazah berjela untuk dibanggakan. Beliau juga sangat payah untuk dilihat memakai sut dan bertali leher, pakaian rasmi beliau selalunya kemeja T dengan lambang ubi kentang dan seluar pendek paras lutut.

Namun jasa dan sumbangan beliau pada masyarakat khususnya yang tinggal di daerah Puchong, Selangor sangat luar biasa dan tak mampu ditandingi waima oleh oleh wakil rakyat kawasan itu sendiri.

Perkara paling asas boleh dilihat sebaik saja kita melangkah ke kediamannya, sebuah rumah teres biasa sederhana kecil di Puchong Utama.

MGF07012018_Interview Uncle Kentang_13
Aktivis, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang memeriksa barangan seperti pakaian dan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik di kediaman nya yang terletak di Taman Puchong Utama, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

Kalau di kediaman wakil-wakil rakyat lain, ‘bersusun’ kereta mewah di kawasan parkir rumah mereka tetapi di rumah Chee Heng, tetamu akan disambut dengan deretan beras berkampit-kampit, ubi kentang berguni-guni dan deretan ambulan. Terbaru van jenazah!

Jadual Chee Heng bermula seawal Subuh hari. Sesibuk mana pun beliau, Chee Heng sudah bersedia menabur bakti seawal pukul 6 pagi.

Di sisinya ada paling kurang tiga buah telefon bimbit. Ada untuk urusan peribadi, ada untuk urusan hospital dan kematian serta ada untuk mereka yang kelaparan serta mengharapkan sumbangan.

Telefon itu akan sentiasa berbunyi dengan panggilan dan pesanan Whatsapp. Pengalaman penulis bersama beliau adalah pengalaman yang cukup memeningkan. Ini kerana dalam sehari, beratus panggilan dan mesej akan masuk ke semua telefon bimbit tersebut!

Yang menghairankan, Chee Heng tidak pernah sama sekali ‘menolak’ setiap panggilan dan mesej yang masuk, andai kata beliau terlalu sibuk atau ke tandas, beliau akan memastikan menelefon semula atau membalas kembali mesej yang ditinggalkan, luar biasa.

MGF07012018_Interview Uncle Kentang_12
Aktivis, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang memuatkan barangan seperti pakaian dan makanan kedalam kereta untuk diagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik di kediaman nya yang terletak di Taman Puchong Utama, Selangor. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

Paling istimewa, beliau sangat ‘sinonim’ dengan masyarakat Melayu dan Islam. Walaupun bukan seorang Muslim, Chee Heng sangat dekat dengan Islam dan mempunyai pengetahuan yang cukup baik dengan agama tersebut.

Disebabkan ‘keakrabannya’ dengan Islam, Chee Heng memiliki van jenazah sendiri yang disediakan khas untuk orang Islam dan jangan terkejut, beliau juga acapkali menganjurkan atau menaja kursus mandi jenazah!

Sebenarnya terlalu panjang kalau hendak dihuraikan sumbangan dan bukti yang Chee Heng taburkan untuk masyarakat. Boleh buat sebuah novel kalau nak diberikan perlambangan.

Sebab itu apabila beliau menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya Semenyih, ia sebenarnya memberi ‘amaran awal’ kepada parti politik seperti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk tidak memandang rendah calon Bebas seperti beliau.

Sesungguhnya rakyat sudah semakin muak dengan calon-calon pilihan raya yang hanya gah dengan kelulusan berjela tetapi gagal menjalankan amanah yang diberikan bila bergelar wakil rakyat.

Rakyat semakin ‘letih’ dengan calon-calon pilihan raya yang hanya pandai ‘menjual ubat’ dan sarat dengan retorika.

Rakyat mahukan seorang wakil yang betul-betul mewakili rakyat, yang faham denyut nadi rakyat dan yang paling penting, yang sanggup susah senang bersama mereka.

Chee Heng ternyata memiliki aspek-aspek dan inspirasi yang diperkatakan itu.

Betul. Chee heng mungkin tidak memiliki jentera sehebat PH dan BN. Chee heng tidak memiliki sumber dan kemewahan seperti mana parti-parti lain.

Chee Heng tidak berupaya menandingi tagline ‘INI KALILAH’ mahupun ‘MALU APA BOSSKU’, namun jangan terkejut jika beliau berjaya memikat hati pengundi-pengundi di Semenyih dengan hanya tshirt cop Kentang dan seluar pendek paras lututnya.

Yang pasti, belum apa-apapun, Chee Heng telah memikat hati rakyat Malaysia. Dan tidak mustahil, beliau ‘tapau’ Semenyih dengan bergaya! – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/05/uncle-kentang-mahu-bertanding-prk-semenyih/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast