S. Arutchelvan.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan akan bertanding dalam pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan yang membuat pengesahan itu berkata, calon bertanding mewakili parti tersebut akan diumumkan pada 13 Februari depan.

Menurutnya, pengumuman itu dijangka dibuat di Semenyih, demikian lapor FMT.

“Jawatankuasa pusat yang bermesyuarat pada Ahad lalu mengambil keputusan untuk bertanding,” katanya.

Mengulas mengenai desas desus bahawa parti itu akan meletakkan pemimpin pemudanya, Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon, Arutchelvan berkata, perkara ia hanyalah spekulasi.

PSM adalah pilihan ketiga kepada pengundi di kawasan berkenaan, selain calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, seorang aktivis Kuan Chee Heng dikatakan akan menggunakan lambang telefon untuk bertanding sebagai calon bebas pada PRK berkenaan.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ kerana jasa dan sumbangannya kepada masyarakat khususnya yang tinggal di daerah Puchong, Selangor pernah bertugas sebagai anggota polis selama enam tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya dan menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa.

Beliau akan menjadi pencabar kepada calon Pakatan Harapan dan Barisan Nasional selain PSM yang baru sahaja mengumumkan perkara itu hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast