KUALA LUMPUR – Sifat dermawan serta keprihatinan terhadap anak-anak istimewa oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dapat dinafikan lagi apabila mereka tidak pernah berhenti amalan menderma sehingga kini.
Dr Mahathir dan Siti Hasmah dikatakan tidak pernah gagal dalam menjalankan tanggungjawab peribadi memberikan bantuan sebanyak RM300 setiap bulan kepada pusat asuhan harian kanak-kanak cacat Tasputra Perkim (Tasputra) di Jalan Ampang sejak 30 tahun lepas.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Pengerusi Tasputra, Elahe Norman yang juga merupakan warganegara Iran sudah mendapat kerakyatan Malaysia.
Kata Elahe, pihaknya sungguh terhutang budi dengan pasangan suami isteri tersohor itu yang tidak pernah lupa dengan komitmen peribadi dalam membantu pusat asuhan itu terus beroperasi menggunakan dana daripada orang awam.
“Tasputra bersyukur dan terhutang budi kerana Tun Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah tidak pernah lupa untuk bukan sahaja membantu kami dalam pelbagai aspek tetapi komitmen peribadi dengan mendermakan RM300 terus menjadi amalan mereka tiap-tiap bulan.
“Kami sangat terhutang budi dan berterima kasih sehingga kini,” katanya dalam ucapan ketika majlis perasmian Tasputra Perkim di Jalan Ampang yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
Elahe juga tidak melupakan para penderma lain yang bukan sahaja warga tempatan sebaliknya rata-rata mereka terdiri daripada golongan komuniti diplomatik kedutaan dari pelbagai negara sehingga kini telah membantu sehingga jutaan ringgit.
Tasputra Perkim yang sudah bertapak sejak tahun 1987 dan diasaskan olej Muna Othman ini sebenarnya merupakan asuhan harian yang dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 7.30 pagi hingga 5 petang itu menghidap penyakit genetik memerlukan penjagaan rapi serta komitmen tidak berbelah bahagi.
Tidak seperti pusat jagaan harian lain, Tasputra bukan sekadar memberikan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak istimewa, malah menyediakan pelbagai jenis terapi yang dilakukan oleh ahli fisioterapi yang terlatih.
Jelas Elahe lagi, walaupun pihaknya mengenakan yuran antara RM500 hingga RM700 sebulan namun ada juga kanak-kanak tidak dikenakan sebarang caj kerana kekekangan kewangan dihadapi oleh ibu bapa mereka.
“Sudah tentu kita tidak mampu dan tidak akan menggalakan sebarang penyertaan secara percuma, namun ada juga kes yang kita tidak mampu tolak. Nasib kita ada pelbagai pihak serta dermawan yang banyak membantu kita dari masa ke semasa.
“Malah International School Kuala Lumpur (ISKL) telah membelanjakan sebanyak RM2 juta untuk bina pusat asuhan harian ini dengan pelbagai kemudahan untuk anak-anak istimewa yang kita ada. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana terhutang budi kita kepada semua pihak ini.
“Kita memerlukan hampir RM60,000 setiap bulan bagi tujuan operasi pusat ini, hanya dengan bantuan serta dana diberikan oleh orang perseorangan serta kumpulan sebenarnya terus memberikan sinar harapan kepada anak-anak istimewa hidup dengan lebih baik daripada terus menderita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Azizah juga turut melahirkan rasa gembira beliau dengan komitmen serta murah hati yang ditonjolkan oleh rata-rata hadirin yang membantu membangunkan Tasputra selain daripada menyeru lebih ramai pihak tampil terus membantu.
Kanak-kanak yang dihantar ke sini menjalani rawatan fisioterapi dan terapi cara kerja bagi mengajar mereka kemahiran asas harian supaya boleh berdikari kelak.
Pusat ini juga menyediakan terapi aroma, terapi akua, hippotherapy, terapi urut, terapi muzik, snoezelen dan terapi pertuturan bagi membantu mereka menjalani kehidupan lebih baik.
Dengan menawarkan pelbagai jenis terapi, kakitangan di situ dapat mengesan potensi dalam diri kanak-kanak istimewa berkenaan.
Bayangkan jika Tasputra dikomersialkan, berapa kos yang perlu ditanggung oleh ibu bapa bagi membolehkan anak-anak istimewa mereka mendapatkan terapi sedemikian.
Dengan usaha keras yang telah dicurahkan selama 30 itu, Elahe berharap ibu bapa dapat memahami betapa pentingnya pendidikan dan penjagaan rapi buat anak-anak istimewa mereka.
Ketika ini, Tasputra memiliki 39 kanak-kanak pelbagai kaum dan latarbelakang dengan 27 orang kakitangan berkemahiran bagi menjaga keperluan serta kehendak anak-anak istimewa ini. –MalaysiaGazette