SERDANG – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguatkuasakan peraturan untuk mengekang penyalahgunaan lesen perniagaan warga tempatan oleh warganegara asing di sekitar ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, penguatkuasaan itu akan mensyaratkan mana-mana premis perniagaan dijalankan oleh warga tempatan yang diberikan lesen perniagaan oleh DBKL.
“Kita akan menguatkuasakan peraturan di mana kalau ada pekerja warga asing sekalipun tuan punya gerai warga tempatan mesti ada bersama, sama ada dia atau wakilnya yang didaftarkan dengan DBKL
“DBKL tahu siapa warga tempatan yang sepatutnya ada di sana,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen ‘Anti Litter Give Your Litter A Lift Home’ di Stesen Minyak Petronas Solaris Putra, di sini, hari ini.
Khalid juga berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana warga tempatan yang menyerahkan lesen perniagaan kepada warga asing dan mereka berdepan tindakan tegas termasuk menarik balik lesen.
“Tiada warga asing yang mendapat lesen perniagaan. Semua lesen perniagaan yang dimohon dikeluarkan oleh pihak DBKL adalah hanya untuk warga tempatan.
“Masalahnya ialah apabila lesen warga tempatan digunakan oleh warga asing. Sekiranya berlaku, maka kita akan ambil tindakan yang tegas dan kita akan tarik balik lesennya,” katanya.
Katanya, DBKL juga diarahakan untuk mengambil tindakan tegas sekiranya wujud warga asing yang membuka gerai atau premis perniagaan secara haram.
“Warga asing yang membuka gerai perniagaan secara haram tanpa lesen itu kalau ianya berlaku memang kita ambil tindakan.
“Baru-baru ini pun pihak DBKL telah menyiarkan gambar beberapa operasi terhadap gerai-gerai warga asing yang disita dan rampas barang-barang perniagaan,” katanya.
Katanya lagi, penamatan bazar perayaan di Jalan Masjid India antara salah satu langkah untuk menyelesaikan masalah kewujudan permis perniagaan warga asing secara haram.
“Tempat-tempat utama seperti Jalan Masjid India dan sebagainya kita akan tamatkan perniagaan macam bazar Ramadan dan sebagainya.
“Ia merupakan salah satu kaedah pemutihan di mana kita akan dapat statistik dan data untuk dapat balik peniaga-peniaga tempatan yang sah.
“Selepas itu kita akan berikan sokongan dan bantuan untuk meneruskan perniagaan mereka secara lberlesen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette