KUALA LUMPUR – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil mengecam perbuatan sekumpulan induvidu di Filipina yang bertindak luar batasan dengan membakar bendera Malaysia sambil mengeluarkan kenyataan biadap baru-baru ini.
NGO yang diwakili oleh beberapa pertubuhan termasuk Ikatan Rakyat Isan Muslim Malaysia (IRIMM), Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Dewan Ekonomi & Sosial Muslim Malaysia (DESMMA), Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis), Amanah Rasah Cekal (ARC) dan Gabungan Ayahanda Selangor (GEGAS) juga menyampaikan sebuah memorandum kepada Kedutaan Filipina sebentar tadi.
Menurut wakilnya, Amir Amsaa Alla Pitchay, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut dan tidak akan sesekali bertolak ansur dalam insiden yang keterlaluan, terkutuk dan penghinaan kepada negara serta rakyat Malaysia.
Kata beliau, rakyat Malaysia bukan sahaja mahu satu tindakan tegas di ambil terhadap induvidu serta kumpulan itu, sebaliknya kerajaan Filipina juga perlu memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.
“Baik kita selesaikan pelbagai isu termasuk menjadi pendamai kepada krisis di negara itu malah tampil membantu dalam apa cara sekalipun, tetapi lihat pula kelakuan biadap mereka ini. Kita tolong mereka, mereka bakar bendera pula.
“Ini adalah sesuatu yang sangat serius dan tidak boleh sesekali dipandang dengan begitu remeh sekali. Kami telah serahkan memorandum ini untuk tindakan susulan, siasat dan ambil tindakan terhadap pelakunya.
“Kita juga mahu penjelasan berhubung perkara ini, kita marah. Biadap betul perangai mereka. Kita sebenarnya mempunyai hubungan dua hala yang cukup baik selama ini, jadi mengapa begini?
“Kita tidak boleh berdiam diri, kita mohon segerakan siasatan dan tindakan tegas supaya tidak berulang kembali,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Kumpulan NGO itu menyerahkan memorandum kepada pegawai khas, Ed Santos di hadapan Kedutaan Filipina di Jalan Changkat Kia Peng sebentar tadi.
Sementara itu, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihaknya cukup terkejut dengan insiden berkenaan dan telah membuat laporan polis sejurus selepas sebuah video menjadi viral sejak semalam.
“Kita tidak pasti kesahihan bila perkara ini berlaku tetapi kita telah buat laporan polis semalam. Kita gesa kerajaan Filipina melalui Kementerian Luar hantar notis siasat perkara ini supaya tidak berlaku lagi selepas ini.
“Ingat, jalur gemilang adalah maruah negara ini dan setiap rakyatnya. Buat apa hendak bakar-bakar? Hubungan kita cukup baik dengan negara ini, jangan panjangkan lagi. Sudah-sudahlah,” tegasnya.
Sebelum ini, kerajaan Filipina sudah memberikan jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani perbuatan orang awam membakar bendera Malaysia di negara itu seperti yang dipaparkan dalam sebuah klip video.
Kedutaan Filipina di sini, dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedutaan tidak akan membiarkan kejadian itu dan menyesali bahawa ia menyinggung perasaan rakyat Malaysia.
“Kedutaan mengulangi jaminannya yang benar-benar komited terhadap perkembangan hubungan dua hala yang sangat baik antara Filipina dan Malaysia,” kata kenyataan itu.
Video kontroversi itu disiarkan dalam akaun Facebook ‘President Pamatong Supporters’ pada 19 dan 21 Januari lalu itu memaparkan Elly Pamatong, yang mengaku sebagai pengasas ‘United States Allied Freedom Fighters of the East’ (USAFFE), membakar bendera Malaysia. –MalaysiaGazette