Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Peguambela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kanan) bercakap kepada media selepas anak guamnya yang merupakan pengundi DUN Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff (kiri) memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – Seorang pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih hari ini memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara bagi menghalang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih diadakan pada 16 Februari ini.

Peguambela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memberitahu, anakguamnya, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff berkata, permohonan injuksi itu dibuat secara dalam talian di laman web Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, permohonan injuksi itu dibuat susulan SPR didakwa tidak berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan susulan badan itu kini hanya dikendalikan oleh seorang ahli sahaja sejak 18 Januari lalu.

“Antaranya perintah deklarasi bahawa setakat pada tarikh tindakan ini, entiti defendan kedua (SPR) adalah tidak wujud dan tidak sah atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari 2019 mengikut Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Perintah deklarasi bahawa mesyuarat defendan kedua bertarikh 18 Januari 2019 yang dipengerusikan oleh defendan pertama (Azhar) seorang diri tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli SPR lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Perintah deklarasi bahawa setiap dan kesemua keputusan diputuskan dalam mesyuarat defendan kedua (SPR) dipengerusikan oleh defendan pertama (Azhar) tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli SPR lain adalah tidak sah, batal serta tidak boleh dikuatkuasakan oleh defendan kedua,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Shah Alam, di sini, hari ini.

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Peguambela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (kanan) bersama anak guamnya yang merupakan pengundi DUN Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff (dua kanan) memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2019

Sebelum ini, Othman Mahmood meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi SPR tahun lepas, bersama-sama lima pesuruhjaya lain iaitu Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Leo Chong Cheong, dan K Bala Singam.

Kesemua enam individu itu akan menghadiri tribunal untuk menyiasat dakwaan salah laku membabitkan SPR sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mohd Khairul Azam juga berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam perlu menyegerakan tarikh pendengaran permohonan injuksi itu sebelum hari penamaan calon PRK Semenyih pada 16 Februari ini.

“Mahkamah ini perlu segera menetapkan tarikh bicara, kami bersedia bahkan esok ataupun lusa untuk mendengar permohonan dalam perbicaraan ini supaya mahkamah boleh buat keputusan sebelum 16 Februari ini.

“Kita nak mahkamah menentukan terlebih dahulu kedudukan SPR ini, seperti mana kita tahu hari ini SPR dikendalikan oleh seorang ahli sahaja.

“Mengikut Fasal 114(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR itu terdiri daripada tujuh ahli malah isu ini sudah mula dipersoalkan banyak pihak sama ada sah atau tidak,” katanya.

Katanya lagi, permohonan injuksi itu merupakan kali pertama cabaran Perlembagaan dilakukan oleh seorang pengundi berdaftar terhadap kesahan SPR.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita SPR hanya dijalankan oleh pengerusi sahaja tanpa enam ahli lain. Ahli kurang seorang atau dua mungkin ada, tetapi keadaan ini unik, kalau seorang dia bermesyuarat dengan siapa,” katanya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast