LOS ANGELES – Sunggupun sudah meninggal dunia pada bulan Mei dua tahun lepas, mendiang bintang rock terkemuka, Chris Cornell tetap dihargai.
Malah muziknya tetap dikenang sehingga saat ini.
Agensi melaporkan, Cornell, 52, telah menerima anugerah Persembahan Rock Terbaik pada majlis kemuncak Grammy.
Persembahan Cornell melalui ‘When Bad Does Good’ menewaskan Arctic Monkeys malah mengejutkan apabila artis rock retro seperti Greta Van Fleet juga tumpas di tangan Cornell.
Lagu tersebut juga turut dimuatkan dalam koleksi set persembahannya yang diterbitkan tahun lalu dan mendapat sambutan amat menggalakan.
Menurut anak perempuan Cornell, Toni yang menjadi wakil menerima anugerah tersebut melahirkan penghargaan tidak terhingga dengan kejayaan itu.
Kata Toni, dalam keadaan emosi, suaranya adalah wawasan malah muzik sudah sebati dengan sanubari Cornell.
“Muzik ini akan buat beliau sentiasa tenang di sana, terima kasih semua untuk anugerah ini,” ujar Toni.
Penyanyi rock bagi kumpulan Soundgarden dan kemudiannya Audioslave itu meninggal dunia secara mengejut, ketika baru berusia 52 tahun dengan polis tidak menolak kemungkinan kematian itu sebagai bunuh diri.
Cornell yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) itu ditemukan mati di bilik air sebuah hotel di Detroit tempat dia menginap pada Mei 2017 beberapa jam selepas kumpulan terbabit membuat persembahan di bandar tersebut.
Selang dua bulan selepas itu, rakan karib Cornell, penyanyi Linkin Park, Chester Bennington menulis sepucuk surat mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberikan inspirasi sebelum menggantung diri meninggal dunia.
Bagaimanapun, isteri Cornell, Vicky menolak dakwaan kononnya suaminya tertekan dan ketagih alkohol serta dadah sehingga bertindak membunuh diri.
Sebalikya, Cornell dikatakan menggunakan ubat penenang yang diberikan doktor di Beverly Hills bagi mempengaruhi kewarasan pemikirannya.
Susulan itu keluarga mendiang memfailkan saman ke atas doktor di Beverly Hills dengan dakwaan Cornell sering diberikan ubat terkawal yang mempengaruhi kewarasan berfikir beberapa tahun sebelum meninggal dunia. – MalaysiaGazette