Azmin
Mohamed Azmin Ali

SEPANG – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan AirAsia Berhad perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan pertikaian yang dihadapi oleh kedua-duanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan dan kementerian yang terlibat bersedia menjadi pemudahcara.

“Saya percaya semua pihak kena duduk berbincang demi kepentingan negara, itu keutamaan dan objektif bagi pemegang kepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memberi pertimbangan jika syarikat penerbangan tambang murah itu mahu membina lapangan terbangnya sendiri.

Azmin yang ditanya buat kali kedua tentang soalan itu berkata, beliau enggan spekulasi mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu melihat perincian berhubung cadangan itu kerana ia daripada pihak swasta.

“Kita perlu melihat kepada butir-butir, permintaan kepada industri. Ia membabitkan pelbagai pihak berkuasa dan industri.

“Oleh sebab itu saya tidak mahu membuat spekulasi,” ujarnya.

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Pengangkutan juga membuat kenyataan sama untuk bersetuju menjadi orang tengah dalam tindakan saman sebanyak RM36.11 juta oleh MAHB kepada AirAsia dan AirAsia X berhubung tuntutan caj perkhidmatan penumpang berjumlah RM9.4 juta yang belum dibayar.

Akhir bulan lalu, Airasia Group Berhad pula mengemukakan tuntutan sebanyak RM479.78 juta kepada anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd.

Tuntutan itu berhubung isu-isu operasi termasuk penutupan landasan, kerosakan apron, kerosakan pesawat akibat masalah infrastruktur di klia2.

Terbaharu, MAHB dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd meminta AirAsia Berhad, AirAsia X Berhad serta ketua pegawai eksekutifnya menarik balik artikel mengenai pengendali lapangan terbang itu serta-merta.

Ini kerana, MAHB mendakwa AirAsia telah menerbitkan kenyataan-kenyatan palsu, tidak tepat dan mengelirukan di media dengan hasrat untuk merosakkan reputasinya. – MalaysiaGazette