Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang juga bekas ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (tengah) berjalan keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM23,540.68 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM23,540.68.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, 56, yang juga bekas ahli Parlimen Kota Tinggi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan menerima bayaran ansuran kenderaannya itu dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Mengikut kesemua pertuduhan, Noor Ehsanuddin didakwa menerima ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 bagi kereta bernombor WQP 329 jenis BMW berwarna perak daripada syarikat Karya Hidayah Sdn Bhd (KHSB).

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Maluri di sini dari 10 Februari 2014 hingga 9 November 2015, yang mana mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai ahli Lembaga Pengarah Felda.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa, menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Nor Diana juga mencadangkan tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan sekali sebulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam R. Thrichelvam yang mewakili tertuduh tidak membantah jumlah jaminan itu dan memaklumkan pasport anak guamnya telah diserahkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas dituduh  atas dua pertuduhan pada Ahad lepas.

Hakim Azman juga membenarkan tertuduh diikatkan jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan. – MalaysiaGazette