Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

Pakar Ekonomi Kanan United Overseas Bank Malaysia (UOB Malaysia), Julia Goh, berkata, aliran masuk asing yang kembali semula ke dalam ekuiti pada Januari adalah seiring ringgit yang lebih kukuh serta aliran portfolio bukan pemastautin yang masuk semula ke dalam pasaran pesat membangun.

“Kami berpendapat pendirian Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang lebih cenderung kepada kadar faedah rendah menunjukkan kesabaran mereka untuk kenaikan kadar faedah seterusnya, serta memberi petanda bahawa Rizab Persekutuan mungkin mengekalkan kadar faedah tidak berubah sehingga Jun 2019.

“Ini sekali gus memberi penangguhan kepada pasaran dan langkah untuk meraih hasil.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan mungkin berterusan didorong laporan dan acara semasa dalam keadaan pertumbuhan dan permintaan global yang lembap,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Berhubung prospek ringgit, Goh berkata mata wang tempatan mungkin berada antara 4.05 dan 4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat sebelum bergerak kepada 4.15 dan 4.18 pada pertengahan dan akhir 2019, masing-masing disokong oleh kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan pada Jun dan Disember.

Beliau berkata, dalam jangka pendek, ringgit dijangka disokong oleh pemacu pertumbuhan domestik yang stabil, pembaharuan dasar secara berperingkat dan lebihan akaun semasa yang kukuh.

“Ringgit kekal di bawah nilai berbanding mata wang serantau dan aset dalam denominasi ringgit mungkin menawarkan jaminan selamat ketika pilihan raya di beberapa negara serantau pada separuh pertama 2019,” katanya.

Mengulas rundingan perdagangan antara AS dan China, Goh berkata bank itu menjangkakan tempoh rundingan antara kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu dilanjutkan dengan tarif dikekalkan pada status quo. – MalaysiaGazette