KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membuka keahlian parti itu di Sabah bukan untuk menentang Parti Warisan Sabah (Warisan).
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Bersatu berkata, keputusan itu dibuat untuk menyokong Kerajaan Sabah yang dipimpin Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Presiden Warisan.
“Bersatu pergi ke Sabah hendak kuatkan kerajaan Shafie bukan hendak tentang. Bersatu hendak bantu dan bukannya hendak tukar kerajaan.
“Keputusan ini kerana keadaan di Sabah apabila ada pihak yang tidak mahu masuk Warisan namun menyokong PH kerana Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Yayasan Al Bukhary di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ditanya rangka waktu Bersatu akan ditubuh di Sabah, Mahathir berkata ia akan direalisasikan secepat mungkin.
Mengenai pemimpin Bersatu yang akan mengetuai parti itu di negeri itu, calon anak tempatan telah dikenalpasti.
“Yang penting mereka mematuhi tiga syarat iaitu keluar UMNO, kena jadi ahli bebas sekian lama dan selepas itu sedia diterima namun dipilih berdasarkan latarbelakang pemohon.
“Pada masa sama, mereka juga bukan terdiri dari ahli parti komponen PH termasuk Warisan, DAP, Amanah yang tidak akan diterima dalam Bersatu.
“Sebaliknya siapa sahaja yang hendak masuk akan diterima dan kita tapis secara individu bukan kumpulan,” katanya. – MalaysiaGazette