Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat negara kepada 4.7 peratus adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi-ekonomi bertaraf A-/A3 seperti Sepanyol, Arab Saudi, dan Mexico dan tidak jauh di belakang berbanding Poland

Lim Guan Eng berkata,KDNK

Menteri Kewangan itu berkata, peningkatan itu dicapai meskipun negara berdepan dengan cabaran luaran dalam bentung perang perdagangan berterusan antara Amerika Syarikat dan China.

“Kejelasan dan kepastian polisi kerajaan dalam mengkalibrasi semula ekonomi negara ke arah pertumbuhan berkualiti tinggi memainkan peranan dalam mempercepatkanperkembangan KDNK kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dari segi suku-ke-suku, pelaburan awam telah meningkat sebanyak 44 peratus dalam suku keempat dan perkembangan positif ini dijangka berlanjutan dalam tahun 2019.

Selain itu, peranan Malaysia sebagai tempat berlindung neutral untuk perdagangan antarabangsa telah membolehkan eksport berkembang 1.3 peratus tahun ke tahun dalam suku keempat setelah jatuh 0.8 peratus tahun ke tahun dalam suku ketiga.

Hasil daripada itu, Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK untuk tahun
2018.

Untuk sepanjang tahun lalu pada harga semasa, eksport barangan meningkat 6.7 peratus kepada hampir RM1 trilion manakala imbangan dagangan meningkat 22.1 peratus (peningkatan sebanyak RM22 bilion) kepada RM120 bilion, iaitu
paras tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Inflasi tahun 2018 yang berpurata 1.0 peratus tahun ke tahun merupakan kadar terendah yang dicatatkan dalam tempoh 9 tahun.

Dalam 4 bulan yang pertama di bawah pentadbiran yang terdahulu, purata kadar inflasi ialah 1.7 peratus tahun ke tahun, berbeza dengan lapan bulan pertama pentadbiran Pakatan Harapan, apabila ia menurun secara signifikan kepada
0.6 peratus tahun ke tahun.

Ini menampilkan kesan positif polisi Pakatan Harapan pada harga pengguna.

Data Indeks Harga Pengguna (CPI) juga secara jelas menunjukkan pengkadaran sifar Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) bermula Jun 2018 hingga Ogos 2018 telah membawa penurunan yang ketara kepada harga pengguna.

Tambahan lagi, pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018 tidak membawa kepada peningkatan inflasi secara mendadak dalam bulan-bulan yang berikutan, tambah Guan Eng.

Sebagai contoh, kadar inflasi berpurata hanya 0.3 peratus tahun ke tahun dalam 4 bulan pertama setelah pengenalan SST, berbanding purata inflasi yang lebih tinggi pada 2.4 peratus dalam 4 bulan pertama setelah GST diperkenalkan pada 2015.

“Ini mengesahkan lagi kenyataan-kenyataan saya sebelum ini bahawa pengenalan semula SST tidak akan memberikan impak pada peningkatan harga sebesar impak pengenalan GST, dan merupakan bukti kukuh yang menidakkan momokan pihak pembangkang bahawa SST akan meningkatkan kadar inflasi dengan teruk.

“Walaupun kerajaan telah berjaya merendahkan kadar inflasi, kami sedar dan mengambil berat tentang kos sara hidup yang tinggi seperti yang dialami sebahagian besar rakyat, terutamanya golongan B40.

“Kementerian Kewangan (MOF), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan jawatankuasa kementerian bersama untuk meneliti langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal kos sara hidup di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette