KUALA LUMPUR – UMNO percaya Pas ikhlas apabila menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Shamsul Annuar Nasarah berkata, Pakatan Harapan (PH) akan melakukan apa sahaja fitnah untuk memecah-belahkan hubungan baik UMNO dan Pas.
Kata beliau, fitnah yang dicipta sendiri oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad kelmarin, adalah senjata terakhir PH yang dalam keadaan terdesak untuk mempertahankan kerusi Semenyih pada 2 Mac ini.
“Ini juga bukti Pas ikhlas bersama UMNO dan begitu juga UMNO ikhlas bersama Pas. Demi Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya menerusi ciapan Twitter beliau semalam.
Shamsul Annuar menyata demikian merujuk beberapa gambar antara beliau dan pemimpin UMNO dengan Pas sepanjang hari penamaan calon di Semenyih semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Festival Demokrasi 2019 di ibu kota kelmarin, Mahathir dilaporkan mendakwa, Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK DUN Semenyih berdasarkan pertemuannya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah, kata beliau, terdapat pengakuan secara bertulis kononnya Pas tidak akan menyokong UMNO.
“Tentang (pertemuan) pihak parti Pas dalam pilihan raya kecil ini tidak akan menyokong parti UMNO. Dia (Abdul Hadi) beritahu. Ada juga pengakuan secara tertulis dan ditandatangani,” kata Mahathir.
PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali dari PH, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan Kuan Chee Heng (Bebas). – MalaysiaGazette