KUALA LUMPUR – Pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang kecewa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji, harus menyatakan ketidakpuasan hati itu dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi.
Ketika menyatakan perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak boleh memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) itu kerana akan merugikan mereka.
Katanya, dengan mengundi Zakaria dan diumumkan menang, BN boleh menjadi pembangkang semak dan imbang kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Selangor, menurut beliau, memerlukan pembangkang yang kuat untuk mewujudkan suara lantang dengan desakan serta tekanan agar kerajaan menunaikan segala janji yang ditaburnya sebelum ini.
“Sudah masuk sembilan bulan PH menjadi kerajaan. Belum ada apa-apa janji yang mereka taburkan kepada pengundi ditunaikan.
“Janji ini bukan sekadar cakap, tetapi telah dijadikan manifesto PH yang digunakan untuk mengalahkan kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebook beliau semalam.
Ismail bersama barisan kepimpinan UMNO, BN berada di DUN Semenyih sejak Sabtu lalu untuk berkempen dalam PRK yang menyaksikan pertandingan empat penjuru itu.
Jelas beliau, kegagalan PH bukan sahaja tidak menunaikan janji dalam manifesto, malah mentadbir negara juga tidak mencapai tahap membanggakan.
Justeru, katanya, pengundi Semenyih perlu terjemahkan ketidakpuashatian mereka kepada kerajaan pada hari mengundi 2 Mac ini. – MalaysiaGazette