SEMENYIH – Hebat-hebat orang lelaki mesti ada aura wanita bersamanya.
Itu diakui sendiri oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi PRK DUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.
Baginya, kehadiran dan persefahaman isterinya, Nurul Filzah Bakhtiar menjadikan beliau lebih yakin dan bersemangat berkempen.
Nurul Filzah ketika ditemui pemberita juga menaruh keyakinan suaminya mampu menabur jasa sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat sama seperti arwah bapanya, Bakhtiar Mohd. Nor.
“Muhammad Aiman ada visi dan saya yakin dengan sokongan pengundi, beliau mampu meneruskan agenda pembangunan rakyat di sini,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan program ziarah ke rumah penduduk warga tua di Kampung Sentosa hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Aiman pula menegaskan, taktik serangan peribadi kepada pihak lawan sepanjang tempoh berkempen bukan caranya.
Anak muda berusia 30 tahun itu lebih selesa membawa agenda rakyat dalam menyelesaikan segala isu berbanding menyerang pihak lawan.
“Saya sesekali tidak akan melakukan serangan peribadi terhadap calon yang bertanding kerana setiap kali berjumpa pengundi, saya hanya bercerita mengenai isu-isu tempatan.
“Agenda rakyat menjadi keutamaan dan jika ada dalam kalangan jentera yang cuba berkempen dengan menjadikan serangan peribadi terhadap mana-mana calon sebagai bahan kempen, saya akan menegur mereka,” kata Muhammad Aiman.- MalaysiaGazette