KUALA LUMPUR – Ramai mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur dari jawatan Perdana Menteri sekarang.
Keputusan itu diperoleh menerusi bancian yang dibuka kepada umum oleh bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Sahaharin atau lebih dikenali dengan nama CheguBard menerusi akaun Twitternya.
Dalam ciapan che’GuBard SAMM bertarikh 21 Februari lalu, admin memaparkan tajuk, “ramai mula bersetuju untuk Chedet (Dr. Mahatir) berundur dan memberi ruang kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, apa pandangan anda?
Hasil undian dua hari yang ditutup malam tadi, hanya mengumpul sebanyak 599 undi, dengan 32 peratus daripadanya mahu Dr. Mahathir undur sekarang.
Dari jumlah undian itu juga, 27 peratus mahu jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Anwar.
Sebanyak 21 peratus undian mahu Dr. Mahathir meneruskan sehingga dua tahun dan 20 peratus menyokongnya menghabiskan penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Namun, ada netizen yang meninggalkan komen di laman ciapan Twitter itu menyifatkan CheguBard sebagai macai kepada parti UMNO yang kecewa dalam politik.
“Biasanya yg buat tweet mcm ni macai2 umno yg kecewa dlm politik… Hasut sana hasut sini semata2 nakkan perhatian sbb dah tak tau hala tuju hidup. Mana2 parti pun dah terima org mcm ni..Sudahnya nnti mcm kera mati beragan,” komen warganet yang memakai akaun @mitos.
Pemegang akaun Twitter @NorhafiziJasmin pula memberi komen, Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Perdana Menteri.
Manakala komen dari @Zol Sandhill meminta CheguBard menjawab dahulu apa masalah (kalau) Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, kerana dahulu semua beriya-iya mahukan Pengerusi PPBM itu, tetapi sekarang kenapa tidak mahu.
“Anwar nak ganti, yes ok, no problem, tapi seluruh rakyat suka ke? Jawatan Perdana Menteri tidak boleh main hak aku, hak kau. Ini cerita tak habis-habis, settle (selesai) dulu hal kami rakyat yang serba tak maju ini,” katanya. – MalaysiaGazette