SEMENYIH – Muhammad Aiman Zainali, tidak terkesan dengan sindiran netizen berhubung beberapa kesilapan kata-kata terutama untuk menunaikan janji menyelesaikan masalah jika diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu sebaliknya menyifatkan ia sebagai gurauan dan tetap istiqomah untuk terus berkempen hingga hari pengundian Sabtu depan.
“Kita tidak akan menyerah kalah dengan segala tohmahan-tohmahan atau kita anggap itu gurauan dan kita akan teruskan sehingga hari pengundian nanti kita akan berkempen,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri gotong royong di padang futsal di Kampung Sesapan Batu di sini hari ini.
Muhammad Aiman sebelum ini menjadi bahan ‘troll’ warganet apabila berjanji menyelesaikan masalah penduduk, sehari selepas menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Kesilapannya itu dilakukan ketika berucap sewaktu berkempen di Batu 26, Beranang, Khamis lalu dengan menytakan ia bukan janji kosong semata-mata, sebaliknya menggambarkan kesungguhannya untuk menyelesaikan masalah penduduk Semenyih.
Dalam pada itu Muhammad Aiman berkata, beliau kini semakin bersemangat untuk terus bertemu dengan orang ramai khususnya pengundi-pengundi di Semenyih selepas dibantu oleh pimpinan parti-parti gabungan.
Katanya, sokongan yang diterima daripada semua pimpinan tertinggi PH itu sangat baik dan beliau bersyukur dengan kerjasama yang diberikan oleh mereka kepadanya.
“Malam tadi pun kita bersama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat dan ia sangat baik Pakatan Harapan memiliki kekuatan dan sokongan pimpinan tertinggi semuanya.
“Dan juga daripada akar umbi yang berkerja kuat masuk ke kampung-kampung dan InsyaAllah kita boleh menang pada pilihan raya ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette