Mahathir
Dr Mahathir Mohamad

KLANG – Kerajaan Persekutuan akan kekurangan wang untuk projek pembangunan lain sekiranya pemansuhan tol dilakukan tergesa-gesa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sekiranya tol mahu dimansuhkan, kosnya tetap ditanggung oleh rakyat melalui kutipan cukai kerajaan.

“Kecaman rakyat memang akan datang sebab kena tol, kita tak hapuskan tol.

“Rakyat mesti faham walaupun mereka tidak bayar tol, tetapi kerajaan kena bayar tol.

“Kerajaan bayar tol daripada duit yang dikutip daripada rakyat, akhirnya rakyat membayar (tol) walaupun melalui kerajaan.

“Ini bermakna kerajaan akan kekurangan wang untuk lain-lain projek yang juga perlu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelantar Metrod Holdings Berhad, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam bahawa cadangan untuk memansuhkan tol masih belum muktamad.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan tidak boleh mengambil alih lebuh raya secara serentak susulan ada cadangan supaya lebuh raya milik Plus Malaysia Berhad (PLUS) dibuat.

Semalam, kerajaan mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mempunyai pegangan syarikat terbabit.

Pengambilalihan tersebut adalah bagi menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan kerajaan akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge).

Melalui perkiraan caj tersebut, pengguna lebuh raya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sekarang pada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Bayaran tol untuk waktu di antara 11 malam dan 5 pagi pula dihapuskan.

Lebuh raya yang terlibat dalam rancangan pengambilalihan itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong Smart. – MalaysiaGazette