Asif Ghafoor

ISLAMABAD – Tentera Pakistan berkata pesawat tentera India memasuki kawasannya di wilayah pertikaian Kashmir dan ‘melepaskan muatan’ selepas Pakistan mengerahkan jet pejuangnya, namun tiada kematian atau kerosakan berlaku.

Konfrantasi itu tercetus berikutan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara tersebut sejak insiden pengebom berani mati di Kashmir pada 14 Februari lalu yang menyaksikan 40 polis para tentera India terbunuh oleh kumpulan militan yang berpengkalan di Pakistan.

New Delhi menyalahkan Islamabad yang menafikan mempunyai peranan dalam serangan tersebut.

“Pesawat India telah menceroboh sektor Mazafarabad,” kata jurucakap tentera Pakistan, Major Jeneral Asif Ghafoor dalam akaun Twitter hari ini yang merujuk kepada kawasan pentadbiran Pakistan di Kashmir.

Ghafoor berkata, ‘berdepan dengan masa yang sesuai dan tindakan yang efektif daripada Angkatan Tentera Udara Pakistan’, pesawat India itu ‘melepaskan muatan dalam keadaan tergesa-gesa berhampiran Balakot ketika menyelamatkan diri. Tiada kematian atau kerosakan,”

Balakot, bandar di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan terletak kira-kira 50 kilometer dari Garisan Kawalan (LoC) yang berfungsi sebagai sempadan antara kedua-dua negara yang telah bertempur dalam tiga peperangan sejak mendapat kemerdekaan daripada British pada 1947.

Kementerian Pertahanan India berkata, ia tidak mempunyai makulumat mengenai dakwaan Pakistan itu.

Serangan merentasi Loc Kashmir sering berlaku dalam masa beberapa tahun ini, manakala ketegangan antara kedua-dua negara meningkat tetapi pencabulan ruang angkasa jarang berlaku.

Pada 2016, New Delhi berkata, tenteranya melintasi LoC dan menjalankan ‘serangan surgical‘ terhadap kem militan di sempadan Kashmir Pakistan susulan serangan yang dilakukan terhadap angkatan keselatan India di Kashmir. – Agenssi