IPOH – Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Tertuduh V. Pathumavethi, 53, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada dua orang anak itu didakwa sebagai kerani akaun dengan mempunyai penguasaan ke atas harta milik Firma Guaman Chong & Poh telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta tersebut bagi kegunaan sendiri melalui cek untuk pembayaran baucar yang dibuatnya.
Dia didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM103,740.55 sejak Januari 2012 hingga Januari 2015 di Firma Guaman Chong & Poh, 46-48B Summit Complex, Jalan Dato Tahwil Azar di sini.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof memohon wanita itu diikat jamin RM40,000 dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah manakala peguam K. Nathan pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM20,000 memandangkan kedua-dua anaknya masih belajar.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 27 Mac untuk sebutan semula kes.
— BERNAMA