Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Apa pun bentuk pembaharuan ekonomi yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan, fikirkan kesan dan akibat yang bakal diterima oleh golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.

Seandainya matlamat itu dipegang, siapa atau apa pun parti yang memerintah negara ini pasti tidak akan mendapat bantahan awam untuk melaksanakan transformasi atau pembaharuan.

Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia merupakan asas yang sepatutnya dipegang oleh pemerintah dalam ‘membahagiakan’ rakyat.

Jika golongan rakyat terendah gembira dan bahagia, percayalah semua pembaharuan yang akan dilaksanakan dapat dilakukan dengan jaya.

Tanpa mahu mengaitkan dengan sebarang perkembangan semasa, Navaratnam berkata, jika golongan miskin dan bergaji rendah terus diancam dengan cabaran ekonomi termasuk kenaikan kos barangan dan perkhidmatan, matlamat mensejahterakan negara sukar dicapai.

Paling dibimbanginya, kadar kemiskinan akan meningkat.

Sekiranya itu berlaku, tambahnya, kaum Melayu paling terjejas memandangkan ia mewakili populasi paling ramai.

“Keutamaan kepada golongan miskin tidak semestinya sentiasa  menyalurkan wang kepada mereka kerana pendekatan tersebut juga tidak baik untuk jangka panjang.

“Tetapi memadai memastikan kesejahteraan dan kelangsungan kehidupan mereka terus dijaga, dilindungi dan dipelihara oleh kerajaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Secara peribadi, beliau turut berpesan supaya semua parti politik di negara ini berhenti berpolitik kerana ia tidak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

Katanya, cukup-cukuplah berpolitik sebelum dan semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan sekarang adalah masa untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat.

“Rakyat dan negara memerlukan lebih daripada politik.

“Apa jadi pada negara jika semua orang terus berpolitik. Siapakah yang akan memikirkan nasib rakyat, apa akan jadi pada ekonomi, kesan kepada sosial, perpaduan kaum jika semua orang hendak berpolitik secara berpanjangan.

“Politik bukan semata-mata survival untuk negara, banyak perkara lain yang baik perlu difikirkan,” pesan beliau. – MalaysiaGazette