KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad mencatat pendapatan lebih tinggi iaitu RM50.39 bilion pada tahun kewangan tahun 2018 dipacu hasil jualan elektrik yang lebih tinggi.
Bagaimanapun Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) Kumpulan TNB yang lebih rendah kepada RM13.37 bilion.
Penurunan itu disebabkan pulangan dibenarkan yang lebih rendah pada paras 7.3 peratus di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi Tempoh Pengawalseliaan 2 (RP2) iaitu bagi tempoh 2018-2020 berbanding 7.5% dalam RP1 (2014-2017).
Di bawah RP2, pihak kawal selia menetapkan had pendapatan bagi perniagaan Rangkaian Pengagihan dan TNB telah memulangkan RM639 juta kepada pengguna pada 2018.
Kemerosotan nilai pelaburan Kumpulan TNB, ditambah dengan kerugian pertukaran mata wang asing yang besar sebanyak
RM0.39 bilion berikutan kelemahan ringgit menyumbang kepada perbelanjaan operasi lebih tinggi, lantas menyebabkan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) yang lebih rendah pada RM3.75 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd berkata, pulangan stabil yang dijamin oleh IBR membolehkan TNB membuat pelaburan semula yang besar bagi memastikangrid nasional yang berdaya harap dan mampan, di samping meningkatkan pelaburan dalam Tenaga Diperbaharui (RE).
Perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM11.82 bilion dicatat pada tahun kewangan 2018 untuk menyenggara,
meningkatkan dan memodenkan infrastruktur kuasa agar memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat serta menampung pertumbuhan tenaga boleh baharu di negara ini.
TNB, katanya, sedang melaksanakan projek grid masa depan yang mana rangkaian gridnya akan berubah
menjadi grid pintar, yang beroperasi secara atutomatik dan digital.
Langkah menaik taraf Grid Nasional menjadi super highway akan membantu TNB memenuhi keperluan elektrik semasa dan masa hadapan, terutamanya di kawasan-kawasan beban tinggi.
Dalam mempercepatkan usaha ke arah lebih mampan, TNB dan syarikat-syarikat subsidiarinya telah
memulakan penjanaan tenaga bersih dan menawarkan penyelesaian mesra alam seperti teknologi
rumah pintar, serta kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga.
Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, Lembaga Pengarah telah meluluskan pembayaran dividen sebanyak 53.27 sen sesaham, yang mana 23 sen sesaham akan diagihkan sebagai dividen akhir dalam satu peringkat.
Ia merupakan nisbah pembayaran dividen 56 peratus daripada PATAMI Terlaras Kumpulan sebanyak RM 5.42 bilion, sekali gus menjadikannya pembayaran dividen tertinggi setakat ini. – MalaysiaGazette