SEMENYIH – Berbaki kurang 10 jam sebelum hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali menyeru pengundi membuat keputusan bijak bagi memilih wakil mereka di DUN Selangor, esok.
Ujarnya, hanya PH yang mampu untuk merealisasikan segala impian dan menyelesaikan masalah rakyat yang dihadapi kini kerana Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dibawah naungan yang sama.
“Harapan saya kepada pengundi Semenyih supaya buat keputusan yang bijak dan dapat beri manfaat dan kebaikan kepada rakyat.
“Jangan lupa datang awal untuk undian esok,” katanya ketika ditemui di Masjid Raja Muda Musa sebelum Solat Jumaat hari ini.
Dalam pada itu, Aiman turut mengakui bahawa beliau pada mulanya sukar diterima pengundi Semenyih.
Namun sokongan itu diberikan pada saat-saat akhir oleh pengundi setelah menyaksikan sokongan padu daripada kesemua pimpinan PH kepada beliau.
“Sepanjang kempen kita dapat lihat mungkin pada awalnya momentum kepada PH agak perlahan, jadi dalam tiga empat hari terakhir ini kita dapat lihat momentum kita agak cepat berdasarkan kepada laporan yang kita terima.
“Penerimaan pengundi kepada PH sangat baik. Laporan itu positif dan kita tetap akan kempen di saat-saat akhir supaya kita dapat tarik pengundi untuk undi kita pada esok hari,” katanya lagi.
Aiman, 30 mendapat sokongan padu daripada pimpinan tertinggi PH apabila beberapa pimpinan tertinggi gabungan itu turun berkempen untuk beliau semalam.
Antaranya Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiga Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. -MalaysiaGazette