Aireen Omar
Timbalan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Aireen Omar bergambar kenangan bersama rakan strategik pada Majlis Pelancaran AVIATAR di University of Nottingham, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI, 01 MAC 2019

SEMENYIH – Syarikat tambang murah, AirAsia akan memperkenalkan sistem pengecaman wajah dikenali Faces (Facial Recognition) untuk daftar masuk dan berlepas di Kuching dan Melbourne

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (Teknologi dan Digital), Ireen Omar berkata, sebagai permulaan sistem itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada Februari 2018 disusuli Kuching selepas ini sebelum diperluaskan ke lapangan lain pada akhir tahun ini.

Sistem yang menggunakan teknologi pengecaman wajah biometrik itu untuk berlepas mengambil masa antara 9 hingga 11 minit sahaja berbanding 11 hingga 13 minit jika dilakukan dengan prosedur sedia ada yang melibatkan penumpang berusia 18 tahun ke atas dengan ketinggian 145 hingga 195 sentimeter.

Menurut beliau, Faces merupakan sistem yang efektif dan berkesan dalam mengurangkan tempoh beratur untuk daftar masuk dan berlepas yang mana penumpang tidak perlu membawa dokumen perjalanan.

“Kami juga sedang meneliti pelaksanaan teknologi itu untuk salah satu laluan khusus iaitu penerbangan dari klia2 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Avelon, Australia untuk daftar masuk dan berlepas semasa ketibaan di sana.

“Dengan ini Malaysia menjadi negara Asia yang melaksanakan teknologi ini merentasi sempadan di dunia dan diharapkan secepat mungkin tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran pertandingan Hackathon Aviatar di Universiti Nottingham Malaysia hari ini.

Hadir pada majlis Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Faces yang merupakan singkatan Fast Airport Clearance Experience System membolehkan penumpang AirAsia berlepas tanpa menunjukkan dokumen perjalanan ke kaunter.

Ditanya tentang kemajuan pelansanaan sistem Faces, Aireen berkata, AirAsia sedang menunggu kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Saya rasa Tony Fernandas selaku pemilik sudah mengadakan perbincangan mengenainya dengan Kementerian Pengangkutan,” ujarnya sambil menambah Faces juga akan menambahbaik sistem kawalan dan keselamatan di lapangan terbang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC), Dr Liew Kan-Ern berkata, Heckathon Aviatar 2019 yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penyertaan 300 pelajar kolej dan universiti seluruh negara.

Katanyam ia akan membuka platform baharu kepada teknologi digital dan penerbangan ke arah Revolusi Industri 4.0.

“Ia juga akan menjadi pentas untuk pelajar didedahkan dengan perkongsian idea dan pengetahuan dengan pakar penerbangan serta teknologi kepakaran penerbangan yang perlu dihadapi masa depan,” katanya.

Pemenang setiap kumpulan yang terdiri daripada lima orang ahli akan membentangkan konsep kerja mereka kepada panel dan lima kumpulan teratas akan bersiang pada  Pusingan Akhir Aviatar 2019 yang akan diadakan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019 pada 26 hingga 30 Mac ini.

Pemenang akan menerima hadiah berupa tiket penerbangan untuk lawatan ke syarikat aeroangkasa di Perancis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast