Penerbangan terus yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani, Thailand ke Kota Bharu bakal menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan.
Dilaporkan syarikat penerbangan perkhidmatan penuh hibrida dijangka memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada 3,200 tenaga kerjanya.-Gambar hiasan.

LANGKAWI – Syarikat penerbangan Malindo Air hari ini melancarkan penerbangan sulung antara Langkawi dan Melaka.

Malindo Air melakukan penerbangan sulung ke Melaka dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) pada pukul 12.05 tengah hari dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka pada 1.45 tengah hari dengan membawa seramai 19 penumpang.

Seramai 72 penumpang pula menaiki pesawat Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka ke LIA yang berlepas pada 2.05 petang dan tiba pada 3.45 petang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Perancangan dan Pembangunan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Zepri Saad berkata berdasarkan jumlah penumpang untuk kedua-dua penerbangan sulung menggunakan pesawat ATR72-600 itu, pihaknya yakin ia satu permulaan yang baik untuk pulau pelancongan ini dan juga Melaka.

“Malindo Air akan terbang tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Jumaat dan Ahad antara kedua-dua lokasi ini, jika ditanya kenapa Melaka Kita sedia maklum Melaka merupakan antara tempat menarik serta ramai pelancong ke sana, begitu juga Langkawi jadi dengan adanya laluan penerbangan ini pelancong dapat merancang perjalanan mereka sama ada dari Langkawi ke Melaka dan sebaliknya,” katanya.

Zepri berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Malindo Air dari Melaka ke Langkawi di LIA, di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Hubungan Kerajaan Malindo Air, Raja Sa’adi Raja Amrin.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata LADA difahamkan Malindo Air akan membuka satu lagi laluan baharu iaitu Langkawi ke Phuket, Thailand bermula 31 Mac ini.

“Penerbangan antara Langkawi ke Phuket juga dibuat tiga kali seminggu iaitu Selasa, Khamis dan Sabtu ini seterusnya menghubungkan antara Melaka, Langkawi dan Phuket. Kami berharap laluan ini akan membawa lebih ramai pelancong ke Langkawi,” katanya.

— BERNAMA