Boustead sah lupuskan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang kepada sebuah syarikat Singapura

Kenyataan Setiausaha Akhbar Menteri Pertahanan

Baru-baru ini bekas Perdana Menteri yang berdepan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak mempersoalkan kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Pertahanan berhubung isu penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik syarikat Boustead Holdings Berhad.

Najib berhujah Menteri Pertahanan YB Mohamad Bin Sabu mungkin tidak tahu Boustead  sudah  buat  pengumuman  rasmi  kepada  Bursa  Malaysia  pada  hari Selasa minggu lepas.

Sebenarnya yang lebih menyedihkan, Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mungkin hanya membaca tajuk pengumuman Boustead kepada Bursa Malaysia dan langsung tidak membaca isi kandungannya sehingga menyebabkan beliau gagal memahami mengapa Pejabat Menteri Pertahanan mengatakan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih belum dimuktamadkan.

Pengumuman kepada Bursa Malaysia hanya menyatakan tentang Surat Tawaran dan Surat Penerimaan untuk penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang milik Boustead kepada sebuah syarikat.

Pengumuman kepada Bursa Malaysia itu juga dengan jelas menyatakan Surat Tawaran itu tertakluk kepada beberapa syarat:

  • Pembeli diberikan Masa Eksklusif selama satu bulan bermula 19 Februari 2019 untuk melakukan penilaian atau aktiviti “due diligence” kepada Hotel dan Boustead akan memberikan segala bantuan yang diperlukan dalam melakukan aktiviti penilaian tersebut.
  • Boustead tidak seharusnya memberikan respons kepada (selain menolak) sebarang siasatan, perbincangan, cadangan atau tawaran untuk atau untuk meneruskan, membuat tawaran, rundingan atau mengadakan perbincangan, atau mengadakan sebarang perjanjian atau persefahaman dengan pihak lain melibatkan Hotel semasa Masa Eksklusif.
  • Melaksanakan perjanjian jual beli bagi kedua-dua pihak semasa Masa Eksklusif.
  • Syarat-syarat yang diperuntukkan bagi Pelupusan Cadangan akan termasuk, antara lain, kelulusan berkanun dan pengawalseliaan yang dikehendaki di bawah undang-undang Malaysia dan Bursa Singapura.

Jelaslah penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih lagi belum dimuktamadkan dan Najib dinasihatkan memberikan tumpuan kepada kes-kes berkait rasuah yang sedang dihadapinya daripada terus menerus menyebarkan berita palsu.

 

AMIN SHAH BIN ISKANDAR

SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA MENTERI PERTAHANAN

1 Mac 2019