Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil diiringi Timbalan Menteri KPDNHEP, Chong Chieng Jen (tiga kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Coca- cola Malaysia, Barry 0' Connell (kanan) menunjukkan bergambar sambil memegang minum kaca air coca cola pada Majlis Pelancaran Program Coca-Colaku di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 04 MAC 2019

PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi peringatan kepada UMNO supaya ‘berhati-hati’ dengan Pas berhubung langkah kerjasama yang dilakukan ketika ini.

Ini kerana apa yang diperkatakan oleh pemimpin Pas belum tentunya benar kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau mendakwa, Pas sering kali berbohong dengan menggunakan fakta-fakta syariah dan perkara itu dilihat sangat memalukan.

“Saya nak beri peringatan kepada UMNO sebab apa yang disebut oleh Pas belum tentu sah, belum tentu betul.

“Kalau dia berbohong sekalipun bohong yang Syariah compliance (pematuhan) dan ini sangat memalukan.

“Dia (Pas) terang-terang tidak menunjukkan kepada asas ajaran Islam sebab itu saya syorkan UMNO berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Coca Colaku di kementeriannya di sini hari ini.

Saifuddin diminta mengulas mengenai kerjasama antara Pas dan UMNO yang dilihat bakal memasuki fasa baharu apabila mengumumkan mahu menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Langkah itu berikutan kejayaan yang dicapai apabila berjaya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) iaitu di Cameron Highlands dan yang terbaru di PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, langkah kerjasama antara Pas dan UMNO itu sangat dialu-alukan dan ia merupakan satu perkara yang menarik.

Katanya, perkara itu boleh berlaku sekiranya Malaysia kini mahu bergerak mengikut sistem dua parti dan kerjasama Pas dan UMNO itu merupakan permulaan yang baik.

“Saya ucapkan agar niat itu tercapai, terlaksana dan saya harap ini boleh diterjemahkan dan jangan dia umum lepas tu dia bohong, tak bolehlah,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin turut menasihatkan UMNO supaya menapis terlebih dahulu apa yang diperkatakan oleh Pas berhubung langkah kerjasama dan penggunaan satu logo itu.

“Dia boleh percaya tapi kena tapis dulu. Kalau nak bohong kena tanya ini bohong yang boleh atau syariah compliance,” sindirnya. – MalaysiaGazette