KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka akan melemah kepada paras 4.1500 berbanding dolar US menjelang hujung tahun ini memandangkan mata wang tempatan itu agak sensitif kepada pertumbuhan ekonomi China, kata seorang penganalisis.

“Bagaimanapun, pengukuhan eksport Malaysia dijangka meminimumkan kelemahan ringgit kerana kita adalah satu-satunya negara yang tidak banyak terdedah kepada tekanan eksport.

“Negara ini juga mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan berikutan krisis perdagangan Amerika Syarikat-China,” kata Pengarah Bank of America Merrill Lynch, Rohit Garg pada perbincangan panel semasa Pameran dan Persidangan Unjuran Harga Minyak Sawit dan Laurik 2019 (POC 2019) di sini hari ini.

Malahan, ini dapat dibuktikan melalui eksport elektrik dan elektronik Malaysia yang telah berprestasi mantap.

“Bagi Malaysia, keadaan telah berubah menjadi lebih baik berbanding dengan apa yang saya ramalkan. Saya tidak menjangkakan ringgit akan menjadi terlalu lemah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Macquarie Commodities Trading (Shanghai) Co Ltd, Ryan Chen berkata, ringgit berkemungkinan akan didagangkan antara 4.06 dan 4.10 berbanding dolar US menjelang akhir tahun dengan harga minyak mentah Brent diunjurkan berada pada sekitar US$65 setong.

Seorang lagi penganalisis berkata kekuatan dolar US bakal menyusut pada separuh kedua 2019 dengan jangkaan Rizab Persekutuan akan menunda kenaikan kadar faedah dan ini akan membantu pasaran mata wang negara membangun termasuk ringgit untuk kembali mengukuh.

POC 2019 yang berlangsung selama tiga hari, bertemakan, “Uruskan Ketidaktentuan, Tuai Peluang-peluang Global”, dianjurkan oleh Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD), ia dihadiri oleh pakar-pakar industri tempatan dan antarabangsa yang terkemuka yang akan berkongsi analisis dan penilaian mereka mengenai pembangunan serta cabaran-cabaran yang memberi kesan kepada prospek harga minyak sawit dan laurik pada tahun ini.

BMD mengendalikan penanda aras dunia bagi kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast