Cody Weddle. foto Agensi

CARACAS – Kerajaan Venezuela menahan dua wartawan, termasuk seorang warga Amerika Syarikat.

Tangkapan itu dibuat ketika Washington merancang untuk mengenakan sekatan bank bagi meningkatkan tekanan kepada Presiden Nicolas Maduro.

Maduro telah menahan Cody Weddle dan rakannya dari Venezuela, Carlos Camacho pada hari Rabu.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Venezuela menerusi Twitter berkata, kerajaan telah menahan seramai 36 orang wartawan tahun ini.

Weddle baru-baru ini membuat liputan ketua pembangkang, Juan Guaido yang kembali semula ke negara untuk stesen televisyen WPLG Local 10 News ditahan di kediamannya, selain merampas komputer dan peralatan lain.

Penahanan Weddle disahkan oleh keluarganya sambil merayu supaya Venezuela membebaskannya.

Ia merupakan perkembangan terkini di Venezuela selepas Maduro yang kini berdepan dengan Guaido didesak supaya melepaskan jawatannya.

Maduro juga telah mengusir duta Jerman kerana mendakwa Daniel Kriener campur tangan berulang kali dalam urusan negara itu.

Kebanyakan negara-negara Barat, termasuk Jerman, telah mengiktiraf Guaido sebagai ketua negara yang sah.

Guaido mengutuk Maduro sebagai seorang perampas kerana menyebabkan undi palsu semasa pilihan raya presiden.

Maduro telah dipersalahkan akibat keruntuhan ekonomi hingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan dan hiperinflasi.

Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ke atas industri minyak Venezuela pada bulan Januari bagi mengurangkan hasil kerajaan dan berjanji untuk melaksanakan tindakan selanjutnya.

Washington juga telah mengenal pasti tindakan Maduro yang bekerjasama dengan bank asing untuk menyembunyikan wang.

Amerika Syarikat telah membatalkan visa 77 individu yang berkaitan dengan Maduro dan menambah kepada 49 lagi orang.

Walaupun berdepan dengan tekanan itu, Maduro – yang mendakwa menjadi mangsa rampasan kuasa dan “perang ekonomi” yang diketuai oleh Amerika Syarikat – mengekalkan kawalan fungsi negara dan mendapat sokongan tentera. – MalaysiaGazette