Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerjasama UMNO dan Pas telah membuatkan Lim Guan Eng melenting kerana beliau tahu perancangan DAP gagal jika orang Melayu tidak berpecah.

Kejayaan dua PRK di Cameron Highlands dan Semenyih membuktikan kerjasama dua parti Melayu itu, Barisan Nasional mampu menang dengan majoriti yang besar.

Lantaran itu, UMNO dan Pas tidak sepatutnya hanya menunggu berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk bekerjasama, sebaliknya patut memikirkan tentang Pilihan Raya Umum Ke-15 dan selepas itu.

Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, UMNO dan Pas perlu ada formula untuk meneruskan kejayaan itu dengan mengelak pertandingan tiga penjuru Pakatan Harapan (PH)-Umno-PAS, sekurang-kurangnya selain di Kelantan dan Terengganu.

Bekas Ketua Hakim Negara itu, pembahagian kerusi perlu dilaksanakan dengan kebijaksanaan UMNO dan Pas tetapi paling penting kedua-dua pemimpin parti berkenaan hendaklah mengenepikan kepentingan diri dan parti.

“Mereka hendaklah menumpukan kepada matlamat memenangi jumlah kerusi yang paling banyak bagi kedua-duanya untuk membolehkan mereka, bersama-sama parti-parti lain yang sehaluan dan bersetuju menyertai mereka bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

“Cara yang paling mudah ialah, kawasan yang dimenangi oleh BN, diberikan kepada BN untuk bertanding dan kawasan yang dimenangi oleh Pas diberi Pas untuk bertanding.

“Bagi kawasan yang kedua-duanya kalah, ia hendaklah diberi kepada parti yang mendapat undi yang lebih banyak. Ini adalah “general rule”. Yang lainnya tertakluk kepada persetujuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hamid berkata, UMNO dan Pas tidak perlu risau untuk mendapat sokongan parti-parti bukan Melayu kerana jika gabungan itu kuat dan berjaya, akan ada parti-parti bukan Melayu akan menyertainya.

Ini kerana, tiada parti-parti politik yang boleh hidup bersendirian memandangkan sepanjang sejarah, MCA, Gerakan dan MIC bergantung kepada UMNO untuk menang.

“Bagaimana dengan kedudukan parti-parti lain yang berada dalam BN? Terserahlah kepada mereka. Jika mereka ingin keluar, mereka dipersilakan keluar. Jika ingin terus bersama, boleh, tetapi mereka perlu buktikan kejujuran mereka terhadap falsafah perjuangan BN, dan bahawa mereka bukan ‘kiasu’, bila menguntungkan, menumpang, bila merugikan, lari.

“Sepanjang sejarah MCA, Gerakan dan MIC bergantung kepada UMNO untuk menang. Empat bulan selepas PRU14, MCA dengan angkuh menggunakan logonya sendiri dalam PRK Dun Balakong. Ia hanya memperolehi 3,975 undi berbanding calon PH yang memperolehi sebanyak 22,508 undi! MIC eloklah cuba bertanding atas tiketnya sendiri atau bersama-sama MCA!,” tambahnya.

UMNO juga tidak perlu resah dengan ‘langau-langau’ yang lari kerana ia adalah antara hikmah kekalahan yang mana kita tahu siapa kawan, siapa lawan.

Jelasnya, kekalahan BN sebenarnya adalah peluang kepada UMNO membersihkan parti daripada politik wang.

Ia juga adalah peluang bagi UMNO membersihkan parti daripada pemimpin-pemimpin yang korup dan menyalahgunakan kekuasaan untuk kepentingan diri.

Abdul Hamid berkata, dengan UMNO yang lebih bersih dan Pas yang lebih fokus kepada isu-isu kenegaraan, orang Melayu mempunyai alasan yang kukuh untuk berdiri di belakang rangkaian dua parti tersebut untuk melakukan “reverse tsunami” yang lebih besar pada PRU15.

Selain itu, ia akan mengukuhkan semula perpaduan orang Melayu, demi untuk mempertahankan ha-hak mereka, bukan untuk mengambil hak orang lain. Untu

Untuk itu, kata Abdul Hamid berkata, orang Melayu tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa. – MalaysiaGazette