KUALA LUMPUR – Lebih dua penggal DAP memerintah Pulau Pinang, kejadian mengusir penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, dekat Georgetown tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana, dalam tempoh itu, kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya sudah membina ribuan unit rumah murah untuk rakyat miskin di negeri itu.
Namun, kata Naib Ketuanya Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, DAP nampaknya masih bergantung kepada PPR yang dibina zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.
Bukan itu sahaja, katanya, setelah dua penggal memerintah, DAP negeri itu bukan menyediakan kemudahan dan menjaga kebajikan rakyat, sebaliknya mengalau mereka seperti haiwan.
“DAP Pulau Pinang memberi alasan pengusiran 22 penduduk itu kerana ada lebih 400 permohonan baharu dari keluarga miskin yang memerlukan kediaman.
“Tidak cukupkah tempoh lebih 10 tahun memerintah Pulau Pinang untuk kerajaan negeri membina atau menyediakan rumah kos rendah dan sederhana kepada rakyatnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Beliau mengulas kekecohan yang berlaku di PPR Taman Manggis pada Rabu lalu, apabila 22 penduduk di kediaman itu diusir oleh Jabatan Perumahan Pulau Pinang.
Dalam kejadian itu, beberapa keluarga didapati bertegas tidak mahu keluar dari rumah berkenaan, manakala ramai daripadanya menjadikan kaki lima bangunan Komtar sebagai tempat tinggal sementara.
Dakwa Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, keluarga berkenaan dikatakan telah melanggar beberapa syarat sewaan seperti tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selama lima tahun, tunggakan bayaran sewa, jumlah pendapatan melebihi kelayakan serta status kewarganegaraan pasangan.
Menurut Shahril Sufian, selama ini kerajaan DAP telah berbohong kepada rakyat, kononnya dalam tempoh itu mereka telah membina rumah mampu milik sebanyak empat kali ganda dari kerajaan BN sebelum ini
“Persoalannya, adakah harga antara RM42,000 sehingga RM400,000 rumah mampu milik yang disediakan kerajaan negeri itu benar-benar mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang?
“Sedangkan di Kuala Lumpur, harga rumah mampu milik kategori PPR yang ditetapkan adalah di bawah RM35,000,” katanya. – MalaysiaGazette