Ketua Penolong Pengarah (D11) JSJ Bukit Aman, ACP Choo Lily bercakap kepada media pada Forum Menangani Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga sempena Hari Wanita 2019 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berbincang dengan kerajaan untuk memanjangkan tempoh Perintah Perlindungan (PO) yang diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Pada masa sekarang tempoh maksimum PO adalah dua tahun.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Choo Lily berkata, tempoh PO perlulah dilanjutkan sehingga hukuman diputuskan.

“Sebenarnya ada tiga perintah, yang pertama adalah Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) yang dikeluarkan oleh JKM sebanyak tujuh hari, Perintah Perlindungan Interim yang berjalan selama siasatan jika siasatan sebulan hanya berkuatkuasa selama siasatan.

“Jika cukup bukti dan pendakwaan dilakukan, mangsa boleh buat lagi permohonan yang dipanggil Perintah Perlindungan (Protection Order) dan ia berkuatkuasa selama setahun. Perintah ini boleh dipanjangkan setahun lagi.

“Inilah masalah yang kami lihat.

“Undang-undang hanyai membolehkan dua tahun sahaja apabila suatu kes dalam perbicaraan.

“Mungkin kita perlu buat perubahan selagi mana perbicaraan berlangsung, maka perintah itu berkuatkuasa, mungkin itu lebih efektif berbanding hanya dua tahun.

“Perbincangan sudah berjalan, ia memang sudah dibawa oleh kami beberapa tahun yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Mengatasi Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga Sempena Hari Wanita 2019 di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) hari ini.

Perintah perlindungan ini bukan hanya tertakluk kepada mangsa, malah tambah Lily, ia boleh dipohon untuk anak-anak atau keluarga yang dirasakan boleh diancam oleh pelaku keganasan.

“Sesiapa sahaja yang dirasa patut terlibat untuk dilindungi – yang berada dalam rumah yang dirasa terancam – mangsa boleh minta di mahkamah dengan syarat-syaratnya.

“Contohnya macam mana dia tidak mahu pelaku keganasan berada berhampiran berapa kaki (jauh), tidak mahu datang ke pejabat ke,” ujarnya.

Namun, ujarnya, pelaku atau tertuduh dalam kes keganasan rumah tangga boleh membuat rayuan agar perintah perlindungan daripada mahkamah tidak terpakai jika dirasakan tidak adil dengan bukti yang sahih.

“Tapi pelaku pun (dituduh) ada hak untuk buat rayuan terhadap perintah ini,  ia (perintah) tidak sehala.

“Kalau si pelaku rasa tidak adil sebab tidak semua kes adalah betul tuduhannya, jadi pelaku boleh rayu kalau dapat beri bukti,” jelas beliau.

Lily terdahulu berkata sepanjang suku tahun ini, sebanyak 608 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di setiap negeri.

Selangor mencatatkan 110 kes iaitu yang paling banyak manakala Melaka paling sedikit iaitu 8 kes.

Pada tahun 2017 keseluruhannya sebanyak 5513 kes manakala 2018 pula sebanyak 5421 kes menurun sedikir.

“Jumlah setiap tahun adalah 5000 lebih macam tu,”katanya lagi. -MalaysiaGazette