KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dilancarkan di Sabah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 April depan.
Berita itu diumumkan oleh akaun laman sosial Facebook Hajiji Likers yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor.
Facebook itu turut memuat naik gambar yang kabur memaparkan Hajiji dan ditemani ADUN Karanaan, Datuk Masidi Manjun, bersama Muhyiddin dan beberapa individu, dipercayai selepas menghadiri mesyuarat mengenai pelancaran Bersatu Sabah di Kuala Lumpur.
Gambar itu turut disertai keterangan yang mengatakan Hajiji adalah Pengerusi Penaja Bersatu, tarikh dan lokasi pelancarannya.
Pada 15 Februari lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mengumumkan parti itu akan dikembangkan ke Sabah bagi menguatkan kedudukan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
Keputusan itu disambut baik bekas wakil rakyat UMNO diketuai Hajiji yang keluar parti pada Disember lalu dan menyuarakan hasrat mahu menyertai BERSATU.
Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mengetuai kerajaan negeri turut mengambil pendirian menerima keputusan BERSATU walaupun sebelum ini ia berharap parti itu tidak dikembangkan ke Sabah berdasarkan persefahaman dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketika ini, beberapa bekas wakil rakyat UMNO berstatus Bebas selepas membuat keputusan meninggalkan parti itu.
Selain Hajiji dan Masidi, ADUN lain ialah Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Japlin Akim (Usukan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).
Yang lain ialah Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran). – MalaysiaGazette