PETALING JAYA – Pandangan Datin Marina Mahathir terhadap kenyataan Datuk Seri Mujahid Yusof dan Wan Saiful Wan Jan mengenai bantahan perarakan Hari Wanita Sedunia yang turut menjadi platform kepada LGBT untuk melaungkan hak mereka adalah bersifat peribadi.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Muhammad Faiz Na’aman mengulas mengenai tindakan anak perdana menteri itu yang mendakwa kaum wanita salah mengundi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama itu kerana didakwa memperlekeh suara wanita.
Malah Marina yang terkenal dengan kelantangan bersuara selain menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) selama ini menyifatkan kedua-dua pemimpin itu sebagai misogyny atau benci perempuan sambil mempersoalkan kenapa dua pemimpin itu tidak mempunyai apa apa yang positif untuk diucapkan kepada kaum hawa.
Muhammad Faiz berkata, setakat yang beliau faham, keterlibatan Marina dengan pertubuhan NGO yang menganjurkan perhimpunan sambutan wanita itu adalah hak peribadinya dan tidak berkaitan dengan mana mana parti politik.
“Sungguhpun beliau (Marina) anak Tun Mahathir, tapi dapat melihat wujudnya perbezaan pendapat dimana Tun Mahathir selaku ketua kerajaan dan juga pengerus PH tegas mempunyai pendirian berbeza berkenaan dengan penerimaan hal LGBT ini.
“Pertubuhan yang bersifat hak asasi wanita itu secara tak langsung juga memperjuangkan perkara perkara yang bertentangan dengan masyarakat Malaysia seperti LGBT.
“Dia nak kaitkan dengan politik tidak wajar kerana kita faham masyarakat Malaysia undi berdasarkan parti politik bukan individu sahaja. Kalau hanya pendapat seseroang pemimpin itu dalam semata mata hal LGBT telah menidakkan kelayakan jadi pemimpin, bagi saya tidak wajar.
“LGBT hanya salah satu isu dalam banyak banyak hal yang diperjuangkan Mujahid dan Wan Saiful jadi saya rasa itu hanya pendapat peribadi Marina dan tak beri kesan kepada kami (kerajaan),” katanya dalam sidang media khas di sini.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, mengikut sejarah Islam anak dan isteri Nabi Muhammad SAW juga berpendirian berbeza.
“Marina tidak salah meluahkan pendapatnya kerana itu hanya pendirian peribadinya kerana beliau dari NGO dan bukan parti politik berbanding Tun M yang mempunyai pendapat dan pendirian tersendiri dalam perspektif umum khususnya soal LGBT.
“Itu tidak akan memberi kesan kepada kami,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette