Ismail Nasaruddin
Presiden NUFAM, Ismail Nasaruddin bercakap pada sidang media mengenai isu penswastaan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines di Pejabat NUFAM, Empire Shopping Galeria, Subang Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2019

SUBANG JAYA – Usaha mencari pesawat MH370 yang masih belum ditemui sehingga hari ini perlu diteruskan oleh kerajaan walaupun insiden itu telah berlaku lebih lima tahun lalu.

Presiden Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata, pencarian tidak boleh dihentikan kerana ahli keluarga mangsa masih dalam keadaan tertanya-tanya dan mahu jawapan ke atas kehilangan pesawat malang itu.

Tegas beliau, kerajaan tidak boleh hanya berdiam diri dan sepatutnya mengambil bahagian dalam pencarian pesawat tersebut.

“Kita juga hendak tahu adakah akan ada siasatan lebih teliti berhubung insiden tersebut dan pada masa sama kita mahu kerajaan teruskan proses pencarian MH370.

“Teruskan selama mana yang kita boleh untuk tolong lebih 200 keluarga penumpang dan krew yang menunggu jawapan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di sini hari ini.

Ismail menambah, NUFAM juga memohon kerajaan mengambil kira cadangan yang disuarakan ahli keluarga mangsa MH370 terutamanya berkaitan pencarian pesawat berkenaan.

“Laporan yang diserahkan kepada mereka tidak melegakan perasaan ahli keluarga. Sentimen manusia, selagi tiada jawapan, mereka tidak akan berasa tenang.

“Sebenarnya, mereka mahukan jawapan (daripada kerajaan berhubung nasib MH370),” ujarnya.

Pada 8 Mac 2014, pesawat penumpang Boeing, B777 hilang daripada skrin radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Kehilangan pesawat bersama 239 penumpang terus menjadi misteri kepada ahli keluarga, sahabat dan seluruh dunia terutama pakar penerbangan.

Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lalu apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar Lautan Hindi selama lebih tiga bulan tempoh operasi.

Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370. – MalaysiaGazette