Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar

PASIR GUDABNG – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegaskan bahawa baginda sentiasa mengikuti perkembangan insiden pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang dari semasa ke semasa.

Titah Baginda, pada masa sama juga sering mendapatkan laporan termasuk perkembangan terkini kerja-kerja pembersihan sisa toksik yang sedang giat dijalankan pihak berkuasa di Sungai Kim Kim.

Malah, titah baginda, laporan berkenaan turut merangkumi jumlah semasa mangsa-mangsa yang sedang mendapatkan rawatan di hospital akibat pencemaran yang berlaku.

“Saya mengambil serius kejadian pencemaran sisa kimia yang berlaku di Pasir Gudang dan sentiasa mengikuti segala perkembangan berkaitan insiden itu.

“Malah pada hari ini juga, saya mendapatkan laporan terkini daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Baginda turut mengingatkan agar jangan ada mana-mana pihak yang sengaja membuat andaian bagi menunjukkan baginda tidak mengambil berat insiden tersebut.

“Saya bersama-sama Permaisuri Johor (Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah), malah Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) turut melawat mangsa-mangsa di hospital.

“Pada masa sama, kami juga sering mengambil berat khususnya mengenai keperluan pasukan penyelamat supaya kerja-kerja pembersihan sisa kimia dapat dijalankan secara sempurna,” titah Sultan Johor. – MalaysiaGazette