Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KOTA BHARU – Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah membayangkan UMNO mungkin menjadi pembangkang yang mesra kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas parti itu mengesahkan kerjasama dengan PAS baru-baru ini.

Mohd Amar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor berkata ini berikutan tiada sebarang perjanjian untuk mengadakan kerajaan campuran dengan UMNO walaupun kedua-dua pihak dilihat berbaik-baik.

“UMNO masih pembangkang dan kita (PAS) masih kerajaan. Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diwakili ADUN Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed) pun pembangkang juga. Kita tak ada kerajaan campuran,” katanya kepada pemberita selepas Isitiadat Pembukaan Penggal Kedua DUN Kelantan ke-14 yang dirasmikan Sultan Muhammad V di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan turut mengulangi setakat ini kerjasama kedua-dua parti hanya merangkumi pilihan raya kecil selain mengukuhkan blok pembangkang di Parlimen dan negara amnya.

“(Perbincangan) sampai ke peringkat nak bergabung, tak ada (setakat ini). Yang akan datang kita tak tahu lagi sebab pilihan raya umum pun tak tahu bila, masa masih panjang lagi,” katanya.

Ditanya mengenai bayaran royalti oleh kerajaan persekutuan, Mohd Amar berkata kes berkaitan penarikan balik saman yang dikemukakan kerajaan negeri beberapa tahun lepas dijangka selesai pada 17 April depan.

“Jadi kita harap, insya-Allah April ini kita dapat bayaran royalti. Jumlah bayaran kita tak bincang lagi cuma kita minta royalti lima peratus (sebagaimana perjanjian asal),” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast