Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum
KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, yang akan bersara wajib April depan hanya tertawa kecil dan memilih untuk terus berahsia ketika diajukan soalan siapa bakal penggantinya.

“Itu soalan sejuta dolar,” katanya sambil ketawa ketika ditanya pemberita sama ada beliau mengetahui siapa hakim kanan yang bakal mengambil alih jawatan Ketua Hakim Negara.

Ditanya mengenai persaraan empat hakim kanan tahun ini beliau berkata ia tidak akan menjejaskan Badan Kehakiman kerana terdapat 150 hakim di mahkamah atasan seluruh negara.

Kepada soalan sama ada kerajaan mendapat tekanan untuk melantik seorang Ketua Hakim Negara berbangsa Melayu dan beragama Islam, beliau berkata perkara berkenaan adalah hak keistimewaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

Malanjum berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Our Constitution’ karya pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi di Auditorium Tun Mohamed Suffian Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Shad Saleem, Hakim Besar Sabah Dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah, Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim, Dekan Fakulti Undang-Undang UM Profesor Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin.

Dalam pada itu, Malanjum berkata antara cabaran terbesar hakim adalah untuk sentiasa mengingati bahawa asas perlembagaan ialah prinsip perundangan dan bukannya diperintah oleh undang-undang.

“Itu yang perlu diingatkan apabila kita melihat kepada perlembagaan… Saya rasa dengan cara itu kita dapat memastikan demokrasi sentiasa hidup di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast