Tun Daim Zainuddin.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak ada masalah dengan pemilihan Tun Daim Zainuddin menjadi utusan kerajaan ke Beijing China untuk rundingan projek Rangkaian Rail Pantai Timur (ECRL).

Malah, katanya, semua pihak patut berterima kasih kepada Daim yang sememangnya mempunyai kepakaran dan merupakan individu paling sesuai untuk meneruskan rundingan tersebut dengan berkesan.

“Kita patut menghargai Tun Daim kerana kalau kita nak rundingan semula tentang satu kontrak yang begitu besar dan begitu rumit ini kerja sepenuh masa dan memerlukan komitmen penuh.

“Dan untuk melibatkan saya sekiranya saya dipilih ke rundingan itu.. saya mana ada masa untuk buat kerja lain.

“Lagipun kita kena berulang alik ke Beijing selama 7 atau 8 jam dan ini bukan seperti Singapura tak sampai satu jam boleh sampai. Dan kita pun tersekat dari segi protokol menteri.

“Maka Tun Daim memang seorang berpengalaman dan tentu semua tahu kepakaran dan saya rasa kita dapat seorang yang terbaik meneruskan rundingan (ECRL) itu,’ katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan berupaya meneroka segala sumber dan peluang yang ada.

Beliau juga, katanya, seorang yang tidak suka dengan protokol ketat dan suka turun padang dengan cara berterus terang

Ahli Parlimen Bagan itu juga melahirkan keyakinannya dengan kebolehan Daim untuk tampil dengan penyelesaian yang akan dibentangkan di Kabinet untuk membuat keputusan akhir.

“Kami yakin dengan kebolehannya, tunggu dia kembali dari rundingan di Beijing dengan satu penyelesaian terbaik dan ia akan dibentangkan di Kabinet untuk keputusan muktamad,” ujarnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/20/daim-lebih-layak-dari-guan-eng/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/20/rundingan-ecrl-tun-daim-lebih-layak-bukan-lim-guan-eng-edisi-mg-20-mac-2019/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast