MIT

KUALA LUMPUR – Satu petisyen diterima kerajaan daripada Mycron Steel CRC Sdn. Bhd., sebuah pengeluar tempatan bagi memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas pengimportan gegelung gulungan sejuk atau keluli bukan aloi (CRC) dengan kelebaran melebihi 1300 milimeter (mm).

Pempetisyen mendakwa subjek dagangan yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea dan VietNam telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Pempetisyen mendakwa bahawa lambakan import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepadanya, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti prima facie lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara keduaduanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import CRC dengan ketebalan melebihi 1300mm dari negara-negara berkenaan.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan.

Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan.

Sehubungan itu, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan).

Pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 12 April 2019. Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewatlewatnya pada atau sebelum 27 April 2019.

Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada. – MalaysiaGazette