KUALA LUMPUR – Pengagihan dividen bagi kelima-lima unit amanah yang diumumkan oleh Permodalan Nasional Berhad semalam adalah paling rendah dalam sejarah.
Semalam PNB mengumumkan unit ASB2 sebanyak 6 sen, ASM(5.50 sen), ASN Sara1 (5 sen), ASN Imbang2 (4.20 sen) dan ASN Equity3 (4.10 sen) sesaham bagi tahun kewangan 2018.
Sebagai perbandingan, ASB2 membuat agihan (2018: 6.75 sen, 2017: 6.5 sen), ASM (2018: 6.25 sen, 2017: 6.0 sen), ASN Sara1 (2018: 5.15 sen, 2017: 5.15 sen), ASN Imbang2 (2018:4.80 sen, 2017:4.50 sen), ASN Equity3 (2018:5 sen, 2017:6 sen).
Datuk Seri Najib Razak berkata, bukan sekadar dividen menurun, malah, harga jualan satu unit untuk tabung ASN Sara1, ASN Imbang2 dan ASN Equity3, yang merupakan tabung dengan harga berubah-ubah telah turun berbanding satu tahun dahulu.
“Ini konsisten dengan kadar dividen ASB dan ASN yang diumumkan pada bulan Disember lalu yang juga merupakan kadar dividen paling rendah dalam sejarah PNB,” katanya sambil turut menyoal adakah dividen Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkata Tentera dan Bank Rakyat yang masih belum diumumkan akan mengalami nasib yang sama. – MalaysiaGazette