Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (tiga kanan) bergambar bersama pada Pelancaran Buku ‘Terbang Tinggi’ oleh Tony Fernandes sempena Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hari ini melancarkan buku pertamanya bertajuk Flying High dalam edisi bahasa Melayu.

Buku berkenaan memaparkan perjalanan menarik tentang kehidupannya.

Tony, 55, berkata, buku dalam bahasa Melayu berjudul Terbang Tinggi itu adalah kisah tentang kesabaran dan ketekunannya yang membuktikan bahawa impian boleh menjadi kenyataan.

Beliau berharap kisah hidupnya itu dapat menggalakkan orang lain untuk memburu dan mencapai impian sebenar mereka.

“Impian boleh menjadi realiti jika anda berani bermimpi. Buat apa yang hendak lakukan sampai berjaya dan jangan meminta terlalu banyak nasihat.

“Saya berharap buku ini akan memberi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia untuk memburu impian mereka seperti saya,” katanya ketika melancarkan Terbang Tinggi di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

MGF30032019_BukuTonyFernandes_04
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bercakap kepada media selepas Pelancaran Buku ‘Terbang Tinggi’ oleh Tony Fernandes sempena Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MAC 2019

Pelancaran buku itu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan boleh didapati pada harga RM35 di pameran itu.

Buku Terbang Tinggi akan dijual di semua kedai buku utama di seluruh negara bermula bulan depan.

Pembeli akan mendapat 500 mata ganjaran AirAsia BIG Points dan 500 mata ganjaran BIG Points tambahan apabila membayar dengan kad kredit AirAsia.

Buku Terbang Tinggi versi bahasa Inggeris iaitu Flying High telah dilancarkan pada Oktober 2017 dan turut boleh didapati dalam bahasa Korea dan Jepun.

Dalam pada itu, Tony kini dikenali sebagai salah seorang usahawan ternama Asia kerana menjadi pengasas bersama syarikat tambang rendah AirAsia bersama dengan Datuk Kamarudin Meranun dan berjaya mendemokrasi perjalanan udara di rantau ini.

Mereka membeli syarikat penerbangan itu dengan harga RM1 (kira-kira USD0.25) dan memiliki hutang RM40 juta namun mengubahnya dalam masa dua tahun.

AirAsia berubah daripada  syarikat penerbangan domestik di Malaysia sehingga menjadi syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Asia berdasarkan jumlah penumpangnya sekarang.

Tony yang pernah belajar di United Kingdom mempunyai kelayakan sebagai Ahli Bersekutu Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun pada tahun 1991 dan Ahli Felo pada tahun 1996.

Seorang akauntan dengan latihan, Tony memulakan kerjayanya di Virgin Group dan kembali ke Malaysia sebagai Naib Presiden Warner Music Group untuk Asia Tenggara sebelum meneroka perniagaan syarikat penerbangan.

Tony telah menerima banyak penghormatan dan anugerah sepanjang kariernya termasuk Kehormatan Panglima Orde Empayar Britania yang dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 2011 dan Komandan Legion d’Honneur yang dianugerahkan oleh pemerintah Perancis atas sumbangannya terhadap ekonomi Perancis melalui industri penerbangan. – MalaysiaGazette